KUCHING, 08 JANUARI 2021 (SNN) : Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi telah mempengerusikan satu mesyuarat berkenaan upacara “Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Lupar”.
Menurut beliau, majlis pecah tanah itu nanti dijangka akan diadakan pada 18 Februari 2021 di tapak jambatan itu dibina di sebelah Sebuyau.
Pembinaan jambatan ini telahpun bermula walaupun pernah berdepan dengan pembatalan projek oleh pihak kerajaan persekutuan terdahulu namun kini kerajaan Sarawak akan meneruskan semula projek berkenaan dengan menggunakan dana kerajaan negeri sendiri.
Tambah Datuk Julaihi, upacara ini adalah satu siri majlis simbolik bermulanya pembinaan jambatan-jambatan lain yang sedang rancak dibina bermula tahun lepas.
Antara pembinaan jambatan yang sedang rancak di tapak lapangan masing-masing ialah pembinaan jambatan Batang Rambungan, Batang Saribas, Sungai Krian, Batang Paloh, Muara Lassa, Batang Igan, Kuala Kemena dan Batang Rajang.
Turut hadir sekali dalam mesyuarat tersebu adalah Ahli Parlimen Batang Lupar, YB Dao Seri Hajah Rohani Abdul Karim, Setiausaha Tetap MIPD, Datu Safri Zainuddin, ADUN Saribas YB Razi Sitam serta ketua-ketua jabatan yang lain.