KOTA SAMARAHAN, 14 Mac 2019 ( SNN ) : Bengkel lakonan akan dibuka secara percuma sempena Festival Filem Malaysia yang ke-30 di Kota Samarahan. Persatuan Seniman Malaysia dengan kerjasama UNIMAS akan menganjurkan “Program Lensa Skrin 2019” pada 16 Mac 2019, Sabtu ini bertempat di Panggung Eksperimen, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), UNIMAS.
“Program Lensa Skrin” merupakan antara acara yang dianjurkan oleh Persatuan Seniman Malaysia sempena Festival Filem Malaysia ke-30.
Bengkel yang turut diselaraskan oleh Program Sinematografi serta Drama dan Teater, UNIMAS ini akan menampilkan pelakon handal Zahid Tajuddin (juga dikenali sebagai Ropie Cecupak) dan Fauzi Nawawi untuk mengadakan bengkel asas lakonan serta sesi apresiasi filem dari jam 9 pagi sehingga jam 9 malam pada 16 Mac 2019 ini.
Semasa bengkel lakonan asas, peserta akan diberi peluang mempelajari teknik-teknik asas yang diperlukan semasa berlakon dalam filem. Satu sesi ujibakat lakonan juga akan diadakan untuk menguji kemahiran yang dipelajari peserta.
Semasa bengkel ini, peserta turut mampu mempelajari cara-cara pengarahan pelakon secara beretika. Proses ini akan membantu peserta untuk mengetahui cara-cara berkomunikasi dengan pelakon agar mereka dapat mempersembahkan emosi, aksi atau dengan kata ringkas, lakonan yang diinginkan oleh pengarah.
Pengamal industri yang berpengalaman ini juga akan menonton dan membincangkan tentang filem “Hantu Kak Limah 3” yang telah mencatatkan kutipan kedua tertinggi dalam rekod kutipan jualan tiket pawagam Malaysia.
Penyertaan “Program Lensa Skrin” adalah percuma dan pendaftaran akan bermula pada jam 9 pagi di Panggung Eksperimen, FSGK, UNIMAS. Sebarang pertanyaan mengenai bengkel ini, boleh hubungi En. Yow di talian 082 – 581 389.