153 orang pelajar Program Doktor Perubatan UNIMAS buat amal di Kampung Mang

0
887
Prof. Datu Mohd Fadzil bin Abdul Rahman (tengah) merakamkan kenangan bersama para pelajar dan penduduk Kampung Mang Tradisi

KOTA SAMARAHAN, 14 Mac 2019 (SNN) – Kampung Mang Tradisi, Kota Samarahan hari ini menerima kehadiran 153 orang pelajar dari program Doktor Perubatan. Majlis Perasmian dan Penyerahan Anak Angkat Pelajar Perubatan Tahun 1 Sesi 2018/2019, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan UNIMAS telah berlangsung di Dewan Seminar Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), UNIMAS.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg Prof. Datu Mohd Fadzil bin Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS. Sebanyak 40 buah keluarga angkat Kampung Mang Tradisi menerima kehadiran seramai 153 orang mahasiswa dan mahasiswi Program Doktor Perubatan ini.

Melalui Kursus Kesihatan Keluarga, Jabatan Perubatan Komuniti dan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan UNIMAS bersama-sama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Mang Tradisi berganding bahu menjayakan program ini.

Program Anak Angkat ini adalah sebagai pendedahan awal kepada bakal-bakal doktor berkaitan dengan cara hidup masyarakat kampung dan diharap pengalaman berharga sebegini dapat membantu mereka untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat pada masa yang akan datang.

Sesi penyerahan anak angkat Pelajar Perubatan Tahun 1 Kursus Kesihatan Keluarga oleh Prof. Datu Mohd Fadzil bin Abdul Rahman di PITAS, UNIMAS.
 

Pada majlis ini semasa ucapannya, Mohd Fadzil berharap agar bakal doktor ini dapat menjadikan program sebegini sebagai batu loncatan untuk memahami dan menyelami situasi sebenar penduduk kampung sebelum melangkah ke alam pekerjaan apabila menamatkan pengajian kelak. Program sebegini merupakan wadah dan peluang keemasan kepada para pelajar yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam menimba pengalaman berharga ini.

Selain itu juga, program ini juga boleh dijadikan platform untuk mengetengahkan Kampung Mang Tradisi kepada masyarakat umum kerana keunikan nama kampung ini.

Majlis ini turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Timbalan Dekan Pra Siswazah, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, pensyarah-pensyarah & kakitangan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta keluarga angkat Kampung Mang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here