KUCHING 4 Mac 2019 (SNN)– Bengkel Fabrikasi Brooke Dockyard akhirnya mencapai kadar 25,000 metrik tan setahun apabila bengkel ini dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg di Zon Perindustrian Demak Laut pagi tadi.
Brooke Dockyard adalah salah satu kontraktor EPCIC (Engineering, Procurement, Construction, Installation and Commissioning) di Malaysia dalam bidang pembinaan keluli dan kejuruteraan berat minyak dan gas yang tidak asing lagi di pasaran tempatan terutama di rantau ini . Berdaftar dengan Petronas dalam kategori “Major Fabricator” dan “Hook Up and Commissioning “ , Brooke Dockyard telah diberikan kepercayaan oleh Petronas dan PSC yang lain seperti Shell, Murphy dan Talisman untuk menyiapkan struktur keluli dan kemudahan luar pantai untuk industri minyak dan gas huluan selama lebih 17 tahun .
Bengkel fabrikasi logam yang baru ini mempunyai kapasiti sebanyak 16,500 tan metrik berbanding cuma 8,500 metrik tan dari limbungan Sejingkat yang menjadikan kapasiti fabrikasi keseluruhan untuk Brooke Dockyard adalah pada kadar 25,000 metrik tan setahun.
Pada majlis ini Ketua Menteri turut menandatangani “The Presentation of Malaysian Book of Records” sebagai organisasi pertama yang menerima ISO 45001: 2018 Sistem Pengurusan Pekerjaan, Kesihatan dan Keselamatan di bawah skop Fabrication of Structural Assembles and Modules for Oil & Gas Industries oleh Sirim QAS International Sdn Bhd pada 19 Julai 2018.
Pengurusan dan pasukan Brooke Dockyard secara keseluruhannya telah melengkapkan semua 3 siri standard iaitu ISO 45001: 2018, ISO 9001: 2015 dan ISO 14001: 2018, ISO 9001: 2015 dan ISO 14001: 2015 dalam tempoh 4 bulan dan ini adalah sesuatu yang membanggakan.
Turut hadir bersama pada majlis tersebut adalah Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil, Pengerusi Brooke Dockyard, Datuk Abang Haji Abdul Karim Tun Abang Haji Openg, Ahli Dewan Undangan Negeri Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Brooke Dockyard, Ketua-Ketua Masyarakat DUN Demak Laut dan beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.05 Demak Laut.