More
    Home Anda Sudah Bersedia Bersara?

    Anda Sudah Bersedia Bersara?

    12 Oktober 2019 (SNN)– Berapakah umur anda sekarang? Adalah anda sudah bersedia untuk bersara? Mahu atau tidak, semua orang akan bersara pada satu hari nanti. Tetapi adakah anda telah bersedia daripada segi kewangan untuk bersara?

    Kebanyakan golongan belia yang berumur 20 hingga 40 tahun masih belum mempunyai pelan persaraan, sedangkan pelan persaraan perlu ada pada diri seseorang individu pada hari pertama dia berkerja lagi, ataupun paling tidak dalam tempoh 5 tahun bekerja seseorang individu seharusnya mempunyai pelan persaraan.

    Selain itu, kebanyakan orang bergantung sepenuhnya kepada faedah persaraan (retirement benefits) yang diperoleh untuk menampung kehidupan selepas bersara. Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2011, jangka hayat penduduk Malaysia dianggarkan selama 72.0 tahun untuk lelaki dan 77.1 tahun untuk perempuan. Oleh sebab jangka hayat manusia yang semakin meningkat, persoalan yang mungkin timbul ialah adakah wang yang dikumpulkan untuk tujuan persaraan atau pencen mencukupi untuk menampung tahap kualiti kehidupan yang diinginkan, ditambah pula dengan meningkatnya kos perubatan serta sara hidup. Oleh itu, sama ada anda bercadang untuk bersara pada usia 55 tahun atau lebih awal lagi, apa yang penting adalah anda perlu melengkapkan diri dengan perancangan kewangan yang dapat menjamin kehidupan yang memuaskan serta bebas daripada bebanan hutang setelah bersara.

    1. Berapakah jumlah yang diperlukan untuk bersara dengan selesa?

    Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menilai keperluan kewangan anda. Setelah bersara, perbelanjaan seperti pakaian ke pejabat, kos pengangkutan / perjalanan ke tempat kerja, makanan dan sebagainya sudah tiada lagi. Walau bagaimanapun, perbelanjaan lain seperti kos perubatan, insurans dan lain-lain lagi mungkin akan meningkat. Secara amnya, keperluan perbelanjaan seorang pesara itu dianggarkan dalam lingkungan 75% hingga 80% keperluannya ketika masih bekerja. Berdasarkan keperluan ini, anda perlu membuat penyelarasan yang sesuai dengan mengambil kira situasi unik anda, seperti kos pendidikan anak-anak dan pembayaran pinjaman perumahan untuk menganggarkan perbelanjaan bulanan yang perlu ditampung. Selain perbelanjaan tetap yang dikenakan, anda juga perlu mengambil kira jika terdapat kemungkinan gaya hidup anda akan berubah. Jika anda berhajat untuk mengembara, bercuti, ataupun mempunyai hobi-hobi lain yang melibatkan wang, anda perlu mengambil kira kos-kos ini ketika membuat perancangan persaraan.

    Adakah anda tahu jumlah yang diperlukan untuk anda bersara dengan selesa? Berdasarkan pendapat ramai, anda perlukan sekurang-kurangnya RM1 juta dalam simpanan pada umur persaraan minima iaitu 60 tahun. Pakar kewangan yang lain berpendapat yang anda memerlukan 80% daripada perbelanjaan anda kini sebagai jumlah kira-kira buat belanjawan persaraan anda.

    Namun demikian Datuk Shahril Ridza Ridzuan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mempunyai sisi pandang yang lain kerana jumlah ini adalah berbeza-beza buat semua orang.

    “Jika anda ada RM228,000 pada umur 55 tahun anda sepatutnya sudah ada cukup untuk mengeluarkan sebanyak RM1000 sebulan sehingga jangka hayat 75 tahun. Sama ada ianya cukup adalah terpulang untuk anda, berdasarkan belanjawan dan bagaimana anda mematuhinya. Sebab itulah bila kita bercakap tentang simpanan asas anda, ia bukannya jumlah yang anda mesti ada, tapi sebagai panduan kepada ahli kami supaya mereka boleh merancang kewangan masing-masing,” katanya.

    Justeru bermula dari sekarang, sediakan belanjawan untuk mencatat berapa banyak perbelanjaan anda sekarang. Ia akan memberi anda gambaran kasar tentang kos sara hidup selepas anda berhenti berkerja, dan anda akan mampu mula menyimpan. Jangan lupa, perbelanjaan anda tidak semestinya berkurang selepas pencen, ada pesara yang mahu pergi bercuti lalu meningkatkan kos mereka.

    Selain daripada itu, jangan terlebih berbelanja untuk perkara-perkara besar. Orang berusia 30-an biasanya terlibat dengan pelbagai peristiwa besar seperti perkahwinan, menerima cahaya mata, ataupun membeli hartanah yang pertama. Pertistiwa sebegini sememangnya sangat bermakna, namun pastikan anda juga sedar tentang keadaan kewangan anda terlebih dahulu sebelum menghabiskan kesemuanya sekali.

    Simpanan merupakan salah satu pelan persaraan yang baik

    2. Tingkatkan wang persaraan anda dengan pengetahuan kewangan

    Persaraan bukanlah murah, namun anda tidak perlu terlalu risau jika anda sudah mula menyimpan. Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour, menyarankan yang pengetahuan kewangan perlulah diutamakan, lebih-lebih lagi apabila 40% daripada rakyat Malaysia kini sudah bersedia untuk persaraan.

    “Sesiapa yang menjalani hidup dengan membuat keputusan kewangan yang bijak berpotensi untuk menjadi lebih stabil dan juga meningkatkan taraf kehidupan, termasuklah sewaktu persaraan. Dengan pengetahuan dan kemahiran yang cukup, sesiapapun boleh hidup dengan selesa, menguruskan kewangan serta membantu mereka dalam mencapai matlamat kewangan mereka.”

    “Seorang individu yang bijak dalam menguruskan kewangan adalah sedar tentang pentingnya perancangan kewangan jangka panjang dan akan mula menyimpan dengan aktif buat masa depan,” katanya, dalam ucapan di pelancaran modul ‘pengurusan kewangan untuk persaraan’.

    Ada tiga faktor utama yang menyumbang kepada keperluan persaraan anda sekaligus mampu meningkatkan jumlah wang persaraan anda. Ia adalah simpanan peribadi, pelaburan serta penggantian pendapatan (hibah). Sudah tentunya amalan yang bagus adalah dengan menyimpan sebanyak 30% daripada gaji anda setiap bulan, namun adakah anda mampu melakukannya?

    Mula-mula sekali, pastikan yang anda sentiasa menyumbang kepada EPF, dan 11% akan terjaga secara automatik. Jadi apa yang anda perlu adalah menyimpan 19% lagi daripada gaji anda, lebih-lebih lagi mereka yang bekerja sendiri dan tidak mendapat pencen kerajaan selepas bersara.

    Jika anda masih belum mula menyimpan, usia 30-an anda adalah masa yang sesuai untuk bermula! Jika anda ingin mengubah cara anda berbelanja, mulakan secara kecil-kecilan dan tingkatkan jumlah simpanan anda setiap bulan sehinggalah anda berpuas hati dengan jumlah tersebut. Selain itu membuat pembelian aset dan membuat pelaburan juga antara pilihan yang baik yang boleh dilakukan untuk meningkatkan jumlah pendapatan anda. Antaranya adalah melalui pembelian aset seperti rumah, tanah, emas, unit amanah atau membuat pelaburan. Pelaburan dan pembelian aset boleh memberi pulangan yang besar jika ada kenaikan harga dalam pasaran, selain keupayaannya untuk menghasilkan faedah buat anda.

    3. Simpanan untuk kesihatan atau takaful insurans kesihatan

    Walapun kadar kangka hayat di Malaysia adalah 75 tahun (menurut Statistik Kesihatan Dunia 2017 oleh The World Health Organisation), ada kemungkinan yang sesiapa sahaja akan hidup lebih lama daripada itu.

    Selain daripada inflasi, rakyat Malaysia haruslah menghadapi kos kesihatan yang semakin meningkat. Insuran Kesihatan Malaysia mengatakan yang harga rawatan meningkat dua kali ganda setiap tahun, iaitu kadar peningkatan sebanyak 15% setiap tahun.

    Daripada kumpulan fokus bersama persara yang dijalankan oleh BNM, situasi ini menjadi lebih jelas: sewaktu kecemasan (atau pembelian yang mahal), mereka terpaksa bergantung pada anak-anak ataupun menggunakan kad kredit.

    Justeru anda perlu mula melihat cara alternatif untuk menguruskan kos kesihatan anda pada hari-hari tua – contohnya dengan mengambil insuran jangka panjang atau insuran kesakitan kritikal. Yang pertama tadi adalah polisi yang menampung perbelanjaan di hari tua seperti khidmat bantu di rumah, perubatan atau penjagaan orang tua. Yang kedua adalah dasar untuk liputan mengenai masalah kesihatan kritikal. Premium takaful atau insurans biasanya adalah berdasarkan usia dan kesihatan pemohon pada masa pembelian, jadi kalau anda masih muda dan sihat apabila anda mendaftar untuk polisi, biasanya ia akan lebih murah.

    Kesimpulan

    Uumur 30-an mungkin masa yang paling sesuai untuk menetapkan matlamat persaraan anda. Jika anda ingin memastikan keselesaan di waktu persaraan, anda bolehlah bermula menjaga kewangan anda dengan serius dengan mengambil kira perancangan jangka panjang, tak lupa juga berhenti berbelanja dengan perkara-perkara yang hanya memberi kepuasan buat sementara waktu.

    Sumber : BNM, FOMCA, JPA

    Bersara dengan selesa di hari tua adalah impian semua orang (Gambar hiasan: Google)

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    MUT Sarawak & ECoS meterai MoU iktiraf bersama label keselamatan elektrik...

    0
    KOTA KINABALU, 22 APRIL 2025 (SNN): Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) dan Kerajaan Sabah yang diwakili Energy Commission of Sabah (ECoS) meterai memorendum...