MUKAH, 06 OGOS 2020 (SNN) : Seorang remaja cedera parah ditembak menggunakan senapang patah buatan sendiri oleh bapanya ketika bersama-sama sedang menikmati minuman keras dirumah mereka pada petang Selasa lepas.
Semasa kejadian mangsa, 18 tahun dan suspek 48 tahun dikatakan sedang minum bersama di Kampung Keranji Madu, Selangau kira-kira satu kilometer dari Balai Polis Selangau.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Jimmy Panyau berkata, anggota polis tiba di tempat kejadian pada jam 5.30 petang sejurus menerima maklumat daripada orang awam.
“Setibanya di lokasi, polis mendapati mangsa dalam keadaan sedar, tetapi mengalami kecederaan di bahagian bahu kiri, jari dan lutut kanan,” ujarnya.
Katanya lagi, selaras senapang patah buatan sendiri jenis ‘Bakakok’ dijumpai tidak jauh dari tempat kejadian.
“Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Selangau sebelum dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan selanjutnya,” jelasnya.
Menurut saksi di tempat kejadian suspek dikatakan telah melarikan diri. Usaha mengesan sedang giat dijalankan dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan.-Nizal.