KOTA SAMARAHAN, 21 APRIL 2022 (SNN) : Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) bersama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menandatangani memorendum persefahaman bagi mengenalpasti serta memperoleh satu kaedah baharu dalam penambahbaikan sistem bekalan air di Sarawak.
Menterinya Datuk Julaihi Narawi berkata, kerjasama ini bertujuan bagi mencapai matlamat kerajaan negeri yang menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang ‘Pipe Filters dan ‘Main Layers’ pada masa akan datang bagi memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan ke seluruh negeri Sraawak menjelang tahun 2025.
“Selain itu, kerjasama dengan pihak institusi UNIMAS juga amat penting dalam usaha membangunkan industri bekalan air di Sarawak dengan menjalankan beberapa program seperti penyediaan latihan, program kompetensi, kursus, seminar, persidangan, bengkel dan simposium dan kita yakin ini akan menyumbang kepada penghasilan tenaga kerja yang berkualiti dalam industri bekalan air di Sarawak,” katanya dalam satu sidang media selepas menandatangani MoU bersama UNIMAS, di sini, hari ini.
Tambah Julaihi, pada masa ini, keseluruhan bagi bekalan air di Sarawak hanya mencapai 83.6 peratus dengan 99% bekalan air dapat diakses di kawasan bandar manakala kawasan luar bandar cuma merangkumi 66.9%.
“Ini bermakna kita perlu lagi menambah 16.4% bagi mencapai sasaran 100% liputan bekalan air bersih di seluruh Sarawak menjelang 2025 dengan melaksanakan beberapa projek penting di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
“Projek tersebut adalah merangkumi pelaksanaan grid bekalan air seluruh negeri, sambungan saluran paip daripada sistem rangkaian bekalan air sedia ada dan pelaksanaan program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS) untuk kawasan pedalaman terpencil,” ujarnya lagi.
Jelasnya, beliau berharap dengan kerjasama yang dimeterai ini dapat memberi manfaat besar kepada kerajaan negeri Sarawak serta mampu mencari solusi untuk mengurangkan kos pengeluaran bekalan air yan sudah pasti akan memberi impak positif kepada pengguna.
Hadir sama mewakili UNIMAS adalah Naib Canselor UNIMAS; Datuk Professor Dr Mohamad Kadim Suaidi, kedua-dua Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi; Datuk Liwan Lagang dan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Tetap MUT; Dato Alice Jawan dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor UNIMAS.