PADAWAN, 16 SEPTEMBER 2021 (SNN) : Seorang lelaki warganegara tempatan berusia 29 tahun menerima padah setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching selepas membuat laporan polis palsu kononnya telah disamun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata, suspek tampil ke Balai Polis pada 07 September lalu sekitar jam 9.00 untuk melaporkan dirinya telah disamun oleh dua lelaki menaiki motosikal di tepi jalan kawasan Jalan Matang. Ketika kejadian suspek dikatakan memberhentikan kenderaannya ditepi jalan kerana hendak membuang air kecil sebelum didatangi oleh dua lelaki untuk meminjam pemetik api.
“Walau bagaimanapun, suspek kemudian diserang dan dipukul serta diacu dengan sebilah pisau sebelum wang ringgit bernilai RM5,100 bersama telefon bimbit, seutas cincin perak dan dompet miliknya dilarikan oleh dua lelaki berkenaan.
“Pada awalnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan namun setelah disoal siasat secara lanjut oleh anggota detektif Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan suspek mengaku bahawa kejadian berkenaan adalah rekaan semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan.
DSP Lim menambah, tindakan suspek berbuat sedemikian adalah kerana wang tunai bernilai RM5,100 yang merupakan hasil jualan buah-buahan bersama rakannya telah digunakan oleh suspek untuk mengubahsuai kenderaan miliknya.
Suspek kemudian ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Kuching pada 13 September 2021 di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan atas kesalah membuat laporan palsu dan kes akan dibacakan semula pada 26 Oktober 2021 ini.
Jelas beliau, orang ramai dinasihatkan agar lebih bertanggungjawab dan jangan sesekali mencuba untuk membuat laporan palsu. Pihak polis amat memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab ini dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu yang bertindak sedemikian. Sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara selama 6 bulan atau denda sehingga RM2000 atau kedua-duanya sekali.