BAU, 14 SEPTEMBER 2021 (SNN) : Seorang lelaki merupakan operator jengkaut yang sedang melakukan kerja-kerja meratakan batu dipercayai tertimbus runtuhan batu di tapak kuari di Jalan Tanjung Durian, Bau semalam.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.18 petang sebelum mengerahkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau ke lokasi untuk operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa.
“Sejurus tiba di lokasi satu pos kawalan dibuat dalam jarak 50 meter dan kerja-kerja menyelamat mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan batu bersaiz lebih 20 meter dimulakan dan setakat jam 5 petang semalam mangsa yang dikenali Anthony Kana, 48 tahun belum dijumpai.
“Sehingga hari ini terdapat empat jengkaut dan jentolak milik syarikat kuari berkenaan sedang menjalankan kerja mengalihkan timbunan batu bagi membolehkan pihak bomba ke lokasi dan memastikan keselamatan lokasi untuk mengelakkan sebarang kejadian runtuhan susulan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, operasi SAR akan disambung semula hari ini dan punca kejadian dikatakan berpunca daripada kerja pengeboman bagi memecahkan batu di kawasan kuari berkenaan sehingga menyebabkan struktur batu tidak stabil dan runtuh.