MIRI, 22 MEI 2021 (SNN) : Tiga buah unit kedai di kawasan pekan Long Lama, Miri musnah dalam satu kejadian kebakaran pada malam semalam.
Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGO) Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasa berhubung kejadian sekitar jam 11.50 malam daripada Ketua Bomba Zon Miri, Law Poh Kiong.
Menurut sumber awal, kejadian tersebut diketahui selepas salah seorang pemilik akaun sosial media Facebook memuat naik video dan gambar kebakaran melibatkan tiga unit kedai sekitar jam 11 malam sebelum dilihat oleh salah seorang anggota bomba dan menghubungi mangsa untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Betindak atas laporan itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dikerah ke lokasi bagi mendapatkan maklumat dan kerja-kerja pemadaman. Walau bagaimanapun, pihaknya mengalami kesukaran apabila laluan untuk ke pekan Long Lama tidak dapat dilalui disebabkan jalan dinaiki air dan kerja pemadaman sementara dibantu oleh penduduk di sekitar pekan berkenaan.
Keesokan pagi sekitar jam 5.54 pagi tadi, PGO Sarawak sekali lagi menerima panggilan yang mengatakan bahawa api telah marak semula dan pihak bomba bertindak pantas dengan menggerakkan pasukan dari BBP Marudi ke lokasi menggunakan laluan air manakala BBP Lopeng menggunakan laluan darat.
Sehingga awal pagi tadi, laluan darat berkenaan masih tidak dapat dilalui disebabkan arus air yang deras melimpah masuk di kawasan jalan raya ditambah lagi dengan batang-batang kayu hanyut menyukarkan pergerakan anggota ke lokasi.