PETALING JAYA, 22 APRIL 2021(SNN) : Yang diPertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada dua pelajar Malaysia diatas pencapaian mereka dalam menempah tempat 10 terbaik dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) baru-baru ini.
Menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan Istana Negara di laman sosial Facebook, YDPA Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pencapaian dua pelajar berkenaan iaitu Nurul Fatin Nabihah Hamdan dan Siti Naziah Mohamad Nazid yang sekaligus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
“Kejayaan kedua-dua pelajar ini sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa walaupun menghadapi dugaan dan kekurangan dalam mengejar cita-cita.
“Kejayaan ini turut membuktikan dengan iltizam dan bantuan serta bimbingan, pelajar dari golongan B40 dan asnaf mampu mengejar impian dan berjaya dengan cemerlang di peringkat lebih tinggi sekiranya diberikan peluang,” titah Baginda di sini hari ini.
Dalam kenyataan itu lagi, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan semoga kejayaan mereka tersebut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya para belia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.
Menurut info, Nurul Fatin Nabihah yang merupakan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) tajaan Yayasan Sime Darby berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan ketujuh di dunia bagi kertas Strategic Business Reporting (SBR) dan turut berjaya lulus di dalam satu lagi ujian iaitu Advanced Taxation(ATX) yang diikutinya dalam kelas secara atas talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Anak sulung daripada empat beradik itu merupakan anak yatim yang kehilangan ayah pada usia 11 tahun sebelum kemudiannya dibesarkan oleh bapa tirinya yang bekerja sebagai petani manakala ibunya sebagai suri rumah sepenuh masa.
Sementara itu, Siti Nazihah pelajar tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak yang merupakan anak sulung daripada dua beradik turut kehilangan ayah pada tahun 2018 akibat kanser ketika itu sedang menghadapi persediaan untuk peperiksaan CAT telah mendapat tempat pertama di Malaysia dan tempat Kesembilan di dunia bagi kertas Audit & Insurance (AA).
Kedua-dua pelajar di bawah seliaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) itu merupakan antara 92,000 orang calon dari seluruh dunia yang menduduki peperiksaan berkenaan pada sesi Mac 2021.