MUKAH, 21 APRIL 2021 (SNN) : Keputusan yang diambil oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diumumkan oleh YAB Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini mengenai penutupan semua institusi pendidikan di kawasan zon merah adalah suatu langkah yang tepat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, keputusan itu diambil bagi bersama-sama memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19 dan diharap agar rakyat memahami keputusan yang telah diambil oleh kerajaan negeri.
Menurut hasil temuramah media UKAS, orang awam menyambut baik usaha kerajaan negeri menutup institusi pendidikan di kawasan zon merah kerana ia keputusan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat terutama para ibu-bapa yang gusar serta bimbang untuk menghantar anak-anak mereka ke skolah.
Hal ini turut bertepatan dengan sejak beberapa hari yang lalu wujud kluster melibatkan kawasan sekolah dan sudah pasti perkara ini menimbulkan kembimbangan keatas ibu-bapa pelajar yang menghantar anak mereka ke mana-mana institusi pendidikan pada waktu sekarang ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan media turut memberitahu agar setiap pelajar yang tinggal di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah berasrama agar terus kekal duduk di dalam kawasan asrama bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga terjamin daripada jangkitan wabak Covid-19.-SUMBER UKAS.