SPAOH, 11 APRIL 2021 (SNN): Projek Pembinaan Lapangan Terbang Spaoh, Betong di Bebuling apabila siap kelak akan menjadi pemicu kepada aktiviti ekonomi dan pepancongan domestik di kawasan berkenaan khususnya Bahagian Betong.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan lapangan terbang tersebut amat penting kerana kelak akan menjadi pusat pengangkutan untuk menghantar hasil makanan, pertanian serta produk makanan dari Spaoh, Betong dan kawasan sekitarnya ke negara-negara jiran.
“Kita melihat pembinaan lapangan terbang di sini amat penting terutama produk makanan dan hasil yang lain banyak dihasilkan di sini namun untuk memasarkannya ke luar dari Sarawak memerlukan pengangkutan yang efektif.
“Di sini kita akan membuat satu taman Agropark yang mana akan menjadi tempat pengeluar hasil makanan daripada penduduk-penduduk sekitar sini dan makanan tersebut akan kita pasarkan bukan sahaja di Bahagian Betong ini malah boleh kita eksport ke luar negara seperti Singapura dengan menggunakan kapal terbang kargo,” kata beliau semasa berucap dalam Majlis Lawatan Kerja Ketua Menteri ‘Janji Ditepati’ ke Daerah Kecil Spaoh di Dewan Masyarakat Spaoh pada Sabtu.
Ujar beliau, dengan adanya pembinaan lapangan terbang itu kelak ia akan memudahkan aktiviti pelancongan di kawasan tersebut kerana pembinaannya sangat dekat dengan tempat pelancongan termasuklah Batang Ai.
Turut hadir sama Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sarawak; Datuk Amar Douglas Uggah, Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan; Datuk Karim Rahman Hamzah, Ahli Parlimen Betong; Datuk Robert Lawson Chuat, Timbalan Setiausaha Kerajaan; Dato Sri Abu Bakar Marzuki, ADUN Saribas; Razi Sitam, ADUN Beting Maro; Razali Ghafur, ADUN Meluan; Roland Duat, Residen Betong; Encik Friday Belik, Ketua Masyarakat dan Ketua Ketua Jabatan.