KUCHING, 07 APRIL 2021 (SNN) : Kerajaan Sarawak berhasrat untuk meneruskan program Pengukuran Tanah Kampung Tradisional di seluruh negeri ini sekiranya masih mendapat permintaan daripada masyarakat kampung.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli ii Sarawak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha ini dilakukan bagi mengiktiraf kampung tradisi samada di kawasan yang telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera mahupun belum diwartakan kerana masih banyak lagi kampung tradisi di Sarawak ini masih belum disukat.
“Setakat ini sahaja kita telah berjaya menyukat di antara 300 hingga 400 buah kampung tradisi dan kita akan meneruskan usaha ini dan yang paling penting penduduk kampung perlu membuat permohonan kepada Jabatan Tanah dan Survei terlebih dahulu.
“Selagi ada permintaan daripada penduduk kampung, kita akan meneruskan program seumpama ini kerana dengan adanya pemilikan surat hak milik ini kelak tanah tersebut akan menjadi hak milik kekal pemilik melainkan mereka menjualnya,” kata beliau semasa hadir ke Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kqnun Tanah Negeri bagi Kampung Tradisional Buntal Lama, Kuching di Dewan Sri Buntal pada Selasa.
Awang Tengah menambah, pelaksanaan Program Pengukuran Kampung Tradisional ini dibuat secara percuma iaitu segala kos pengukuran ditanggung oleh kerajaan negeri dan surat tanah yang dikeluarkan kelak adalah hak milik kekal di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
Jelasnya, di majlis kali ini dapat disaksikan seramai 155 orang penduduk Kampung Buntal Lama menerima surat hak milik tanah yang dibahagikan kepada dua fasa pada hari Selasa dan Rabu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Turut hadir Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) dan Menteri Muda Bekalan Air merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai; Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana; Datuk Naroden Majais.