LIMBANG, 06 APRIL 2021 (SNN) : Projek Loji Rawatan Air Kampung Limpaku Pinang yang siap pada 2010 yang lalu baru-baru ini mengalami beberapa masalah dan memerlukan kerja-kerja baikpulih yang segera bagi keselesaan penduduk di situ.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, loji rawatan air yang mempunyai 9 buah tangki besar simpanan air itu perlu diselenggara semula nakun di dalam skop baik pulih dinyatakan hanya dua buah tangki dapat dibaik pulih.
Berikutan dengan isu tersebut, Hasbi meminta pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) supaya baki 7 buah tangki yang ada diperbaiki supaya ruang untuk sumber air mencukupi dan penduduk di Kampung Limpaku ini tidak terputus bekalan air kelak.
“Pihak JBALB memberitahu juga setakat ini hanya dua buah tangki besa di kolam terbabit yabg sudah diperbaiki dan ada 7 buah lagi yang belum dibaik pulih, oleh sebab itu saya meminta mereka untuk memohon dana kepada ibu pejabat bagi melakukan kerja-kerja pembersihan dan naik taraf tangki tersebut.
“7 buah tangki berkenaan masih bagus dan diguna pakai kerana kesemua tangki berkenaan adalah diperbuat menggunakan poly tank tahan lasak dan tidak berkarat,” kata beliau semasa ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Kampung Limpaku Pinang pada Ahad.
Dalam masa yang sama, Datuk Hasbi turut menyerahkan cek bernilai RM25,000 dari kerajaan pusat kepada Ketua Kampung Limpaku Pinang untuk kerja-kerja penambahbaikan Dewan Kampung Limpaku Pinang dan beliau turut menjelaskan akan ada banyak lagi projek di bawah NRDA di kampung berkenaan sebagai usaha untuk mencantikkan suasana kampung.
Terdahulu, Menteri Pelancongan Malaysia Dato’ Sri Nancy mengadakan lawatan ke kampung berkenaan dan berpuas hati dengan produk pelancongan yang ada di situ. Oleh sebab itu, kita merancang untuk menjadikan kawasan kampung ini sebagai salah satu daya tarikan pelancong ditambah dengan penyediaan kemudahan awam yang serba lengkap.
Turut hadir sama wakil Residen Bahagian Limbang; Ayunni Tamimi, Pegawai Daerah Limbang; Superi Awang Said, Jurutera Air Bahagian Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Limbang; Frezzal Faisal, Pengurus Wilayah SEB Limbang; Awang Iderus Awang Rambli, Pegawai Majlis Daerah Limbang; Diana Essa dan Ketua Kampung Limpaku Pinang; Simatzaman Sapar.-SUMBER UKAS.