MATU, 01 APRIL 2021 (SNN) : Bandar Baru Matu yang akan diubah suai bagi memastikan infrastruktur yang tersedia dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat dijangka akan memangkin pertumbuhan sosioekonomi penduduk disitu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, rekan bentuk Bandar Baru Matu yang akan diubah mengikut kesesuaian dan keupayaan masyarakat disitu akan menjadi penggerak kepada ekonomi penduduk Matu kelak.
Sehubungan itu, beliau menegaskan tidak guna kawasan bandar baru ini dibina dengan bangunan yang canggih-canggih, multu storey tetapi keupayaan masyarakat di situ tidak sampai, lama kelamaan usaha untuk kita membantu mereka tidak akan dapat dikotakan.
Oleh sebab itu, kita merancang untuk mengubah suai dari segi reka bentuk bangunannya dan yang paling penting kemudahan itu ada serta menjadi penggerak kepada masyarakat bagi memulakan perniagaan.
Beliau berkata sedemikian semasa hadir ketika membuat lawatan ke Projek Pembangunan Bandar Baru Matu pada Rabu.
Tambah beliau, kawasan pesisir kini rancak dibangunkan dengan limpahan pelbagai kemudahan infrastruktur dan bangunan-bangunan kerana ini merupakan agenda kerajaan negeri sejak pentadbiran Ketua Menteri sebelumnya Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk membangunkan kawasan pesisir di seluruh negeri.
Ujarnya, setelah projek membangunkan kawasan bandar baru ini siap kelak penduduk setempat tidak perlu lagi bergerak jauh samada ke Daro atau Mukah untuk berurusan kerana disini kelak akan disediakan pusat komersial yang serba lengkap.-SUMBER UKAS.