LAWAS, 31 MAC 2021 (SNN) : Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari bagi membantu memudahkan urusan permohonan Projek Perumahan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) ekoran peningkatan permohonan yang banyak di kawasan itu.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan ini nanti melibatkan jabatan teknikal, Pejabat Daerah dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi membantu menilai keutamaan bantuan permohonan.
“Peruntukan kita pada setiap tahun adalah sebanyak RM1 juta akan tetapi jumlah permohonan yang diterima terlalu banyak jadi inisiatif kita adalah dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menilai dan mengutamakan permohonan yang benar-benar memerlukan dan ianya akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kelas keutamaan.
“Sekarang ini peruntukan bagi projek baik pulih dan bina baru rumah turut dibantu oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” kata beliau semasa berucap dalam Program Gotong Royong Projek Kerajaan Sarawak MRP-PPRMS DUN Bukit Sari di Kampung Dato, Kuala Lawas pada Isnin.
Tambah beliau, di bawah kawasan DUN Bukit Sari sahaja sejak dari hujung tahun 2019 sehingga awal tahun 2021, sebanyak 257 buah rumah telah dibantu dibaik pulih dengan kos sebanyak RM2.4 juta dan angka ini dijangka akan meningkat ekoran permohonan untuk projek berkenaan bertambah.
“Selain itu, di masa akan datang di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) kita akan melaksanakan projek pembesaran kampung iaitu melibatkan Kampung Dato, Kampung Nor Islam. Tujuan projek ini dilaksanakan adalah bagi memberi kemudahan membina rumah serta infrastruktur seperti jalan raya, parit konkrit dan penembokan tanah-tanah dan ianya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak,”tegas beliau.
Turut hadir sama dalam majlis Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas; Dato Henry Sum Agong, Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak; Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Bahagian Limbang; Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas; Ladin Atok, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).-SUMBER UKAS.