LIMBANG, 23 MAC 2021 (SNN) : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia kini sedang giat memperkasa program-program bagi membantu usahawan kraf tempatan di bawah teras Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) yang dilaksanakan di bawah inisiatif Pembangunan Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran adalah salah satu usaha untuk membangunkan serta memperkasa komuniti kraf dalam melibatkan diri mereka secara langsung di dalam industri perusahaan kraf sebagai penjana ekonomi utama mahupun sampingan.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Nancy Shukri, tujuan pihak Kementerian MOTAC datang ke Limbang ini adalah bagi membantu mereka yang giat dalam seni kraftangan dengan menubuhkan PPKK ini. Tujuan utamanya adalah bagi membantu kumpulan sasar iaitu Belia-Beliawanis, Asnaf, Golongan B40 (bndar dan desa), Masyarakat Orang Asli, Etnik Sabah dan Sarawak, Kumpulan Rentan serta penganggur.
Pelaksanaan program ini akan memfokuskan kepada empat inisiatif utama iaitu pembangunan produk, pembangunan pengeluaran, pembangunan kemahiran teknikal dan digital serta pasaran dan promosi. Setakat ini program ini telah disertai lebih 300 peserta melibatkan beberapa daerah di Sarawak sejak pelaksanaannya pada tahun 2020 lalu.
Beliau berkata sedemikian semasa berucap dalam Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf Parang di bawah inisiatif PENJANA anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di Dewan Kampung Patiambun pada Sabtu.
Mengulas mengenai anjuran PPKK Kraf Parang itu, Nancy mengucapkan syabas kepada Kraftangan Malaysia kerana telah berjaya melaksanakan program berkenaan dan penyertaan daripada peserta amat menggalakkan. Diharapkan peserta yang ikut serta dapat mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari bagi mengusahakan kraf parang di Daerah Limbang sebagai sumber ekonomi utama atau sampingan.
Turut hadir dalam majlis adalah Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Dato’ Dr Noor Zari Hamat,Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Dato’ Zainuddin Abdul Wahab, Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat dan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak Azran Arip.-SUMBER UKAS.