KUCHING, 20 MAC 2021 (SNN) : Umum kita ketahui bahawa di Sarawak penggunaan nama ‘Allah’ di dalam Kitab Injil umat Kristian di negeri ini sudah lama namun baru-baru ini isu berkenaan telah dibangkitkan di negara ini selepas keputusan mahkamah membenarkan penganut agama Kristian untuk menggunakan perkataan ‘Allah’ di dalam kitab ajaran mereka. Isu terbabit semakin hangat diperkatakan selepas beberapa ahli politik blok pembangkang di negeri ini cuba menggunakan isu berkenaan bagi memancing rakyat untuk bertelagah sedangkan hal terbabit tidak menjadi satu isu di negeri Sarawak.
Menjawab berkenaan isu terbabit, Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Dato’ Idris Buang membidas tindakan ahli politik parti pembangkang dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Wong Soon Koh dan Datuk Joseph Entulu Belaun yang cuba ‘menunggang’ isu terbabit di Sarawak. Jelas Idris Buang dalam sesi temu bual secara langsung oleh wartawan tempatan, isu penggunaan nama ‘Allah’ bagi umat Kristian di Sarawak dikatakan langsung tiada isu bahkan tidak ada perkaitan dengan isu yang sedang hangat dibincangkan di Semenanjung sekarang ini.
Dato’ Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, berpendapat tindakan dua individu politik berkenaan cuba menjadi ‘jaguh kampung’ kerana dengan sengaja cuba memutarbelitkan kenyataan bagi menggambarkan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak serius dalam keputusan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri baru-baru ini kerana tidak menegah Kerajaan Persekutuan untuk membiarkan sahaja keputusan kerajaan membenarkan penganut agama Kristian di negara ini menggunakan nama ‘Allah’ di dalam kitab mereka.
Tambah beliau, kedua-dua individu terbabit seharusnya tidak mengeluarkan pendapat tanpa asas serta mempersoalkan keputusan yang dikeluarkan oleh kerajaan Sarawak kerana pucuk kepimpinan sendiri menyatakan bahawa di Sarawak ini tiada isu berkenaan percanggahan antara penggunaan nama ‘Allah dalam kitab umat Kristian dan umat Islam. Mereka sebagai ahli politik seharusnya peka terhadap keharmonian diantara kaum yang sudah lama terbina di negeri ini dan jangan cuba mengapi-apikan dengan menggunakan sentimen penggunaan nama ‘Allah’ yang tidak pernah diperdebatkan di Sarawak ini.
Jelas beliau, penduduk di negeri ini diharapkan janganlah terpancing dengan sentimen penggunaan nama ‘Allah’ di negeri ini kerana penganut agama Kristian sudah lama menggunakannya dan tidak pernah menjadi isu. Sebagai ahli politik tidak perlu memperjudikan keamanan yang terbina demi untuk mendapatkan mandat memerintah sedangkan hubungan antara kaum itu amat penting bagi membina sebuah negeri yang maju.