BETONG, 09 MAC 2021 (SNN) : 11 keluarga dari Rumah Panjang Kusing Asal, Layar hari ini menerima sumbangan bekalan makanan daripada Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Unggah Embas dan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat.
Mereka yang terjejas akibat Pelaksanaan Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) bagi mengesan penularan wabak covid-19 daripada Kluster Jalan Muhibbah sejak 4 Mac lalu mendapat perhatian daripada kedua wakil rakyat tersebut.
Penyerahan bakul makanan kepada 11 keluarga di Kusing Asal, Layar itu dibuat sebagai bantuan tambahan kepada bantuan yang telah diserahkan oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong (JKMBB) sebelum ini.
Dalam pada itu, Tuai Rumah Rumah Panjang Kuling Asal, Aji Talajan merakamkan terima kasih kepada ADUN Bukit Saban dan Ahli Parlimen Betong atas keprihatinan terhadap keperluan penduduk di rumah panjang yang terkesan sepanjang pelaksanaan ‘ACD’ di kawasan itu.-SUMBER UKAS.