SIBU, 31 JANUARI 2021 (SNN) : Setakat tengah hari tadi lebih 600 sampel berjaya diambil dalam ujian saringan Covid-19 yang dilakukan secara besar-besaran di Pasar Tamu Sibujaya disini sejak pagi tadi.
Menurut Penolong Pegawai Kesihatan (Bahagian Persekitaran) Bahagian Sibu, Mohd Nor Akmal, jangkaan kita adalah seramai 2,000 orang akan menjalani ujian saringan akan tetapi setakat ini seramai 668 individu yang telah berjaya melakukan ujian saringan dan proses pengambilan sampel tersebut.
“Ujian calitan sampel dilakukan bermula dari jam 9 pagi hingga 2 petang setelah tiada lagi orang ramai yang datang.
“Bagi mereka yang belum melakukan ujian saringan diminta untuk hadir ke Pasar Tamu Sibujaya untuk membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengesan kes-kes jangkitan di Sibujaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pihaknya mengucapkan ribuan terima aksih kepada orang ramai yang sudi datang dengan sukarela untuk melakukan ujian calitan sampel bagi sama-sama memutuskan penularan wabak Covid-19 ini.
“Terima kasih juga kepada semua petugas kesihatan di Sibujaya pada hari ini atas usaha membantu mengesan kes-kes di kawasan Sibujaya dan sama-sama berdoa agar kita semua dilindungi dari jangkitan ini,” tegasnya.