More
    Home Subsidi RM10 Bot Ekspres Tambahan Diluluskan Bagi Jamin Keselamatan Pengangkutan Sungai

    Subsidi RM10 Bot Ekspres Tambahan Diluluskan Bagi Jamin Keselamatan Pengangkutan Sungai

    SIBU, 25 Mei 2019 (SNN)- Subsidi RM10 bot expres tambahan diluluskan bagi menjamin keselamatan pengangkutan sungai sempena perayaan Gawai Raya dan cuti sekolah pertengahan tahun 2019. Justeru, orang ramai yang hendak balik ke kampung menggunakan pengangkutan sungai bagi meraikan sambutan Hari Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri tidak perlu bimbang kerana kerajaan Negeri Sarawak menyediakan banyak bot ekspres tambahan bersubsidi untuk rakyat.

    Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata, kerajaan negeri telah meluluskan subsidi itu pada mesyuarat kabinet di Kuching, kelmarin.“Subsidi ini berjumlah RM10 untuk setiap penumpang yang menggunakan bot ekspres tambahan yang telah diluluskan oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS)”.

    “Ia berkuat kuasa 25 Mei sempena perayaan Hari Gawai Dayak, Hari Raya Aidilfitri dan cuti sekolah. Bermula 25 Mei hingga 31 Mei bagi sektor Sibu-Song-Kapit dan dari 3 hingga 9 Jun bagi sektor Kapit-Song-Sibu”. Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Operasi Penguatkuasaan Perayaan Hari Gawai, Hari Raya dan Cuti Persekolahan 2019 di Terminal Penumpang Sibu, semalam.

    Julaihi menambah, pemberian subsidi itu akan mengelakkan operator bot ekspres menaikkan harga tambang.“Kalau pergi Sibu-Song-Kapit dengan bot ekspres tambahan, sudah tentu mereka balik dari Kapit ke sini tiada penumpang. Justeru, subsidi itu untuk menggantikan kos yang ditanggung operator bot ekspres. Begitu juga laluan sebaliknya”.

    “Dengan adanya subsidi itu, penumpang akan menikmati harga tambang yang sama sambil tidak perlu risau akan ketiadaan bot ekspres kerana kita sentiasa meluluskan bot ekspres tambahan mengikut permintaan operatornya,” jelasnya lagi.

    Inisiatif tersebut katanya, adalah usaha kerajaan GPS untuk meringankan beban rakyat dan dalam masa yang sama menfokuskan keselamatan penumpang. “ Sasaran yang ditetapkan adalah kemalangan sifar atau ‘zero accident’ kepada komuniti yang menggunakan sistem pengangkutan sungai di seluruh Sarawak dalam tempoh masa yang sama” tambah Junaidi lagi.

    Julaihi semasa Majlis Pelancaran Operasi Penguatkuasaan Perayaan Hari Gawai, Hari Raya dan Cuti Persekolahan 2019 di Terminal Penumpang Sibu

    Bagi merealisasikan sasaran ini, sempena cuti perayaan Gawai Raya dan cuti persekolahan pertengahan tahun ini, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) akan melaksanakan operasi penguatkuasaan di sungai-sungai dan terminal-terminal yang akan menjadi tumpuan komuniri secara besar-besaran. Operasi tersebut dibahagikan kepada dua fasa iaitu bermula dari 24 hingga 31 Mei 2019 di bawah Fasa I, manakala Fasa II dari 3 hingga 9 Jun 2019.

    Menurutnya, sebanyak lapan jabatan serta agensi penguatkuasaan terlibat dalam operasi kali ini yang melibatkan Jabatan Laut Wilayah Sarawak, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sarawak, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan pihak berkuasa tempatan.

    “Saya telah dimaklumkan LSS akan mengatur gerak 185 pegawai dan 15 bot peronda penguatkuasaan sepanjang tempoh operasi tahun ini dengan dibantu oleh lebih kurang 90 pegawai dan lima bot dari jabatan serta agensi penguatkuasaan lain. Ini bermakna jumlah keseluruhan yang akan terlibat dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di sungai-sungai dan terminal-terminal utama di seluruh negeri sempena operasi ini adalah lebih kurang 275 pegawai dan 20 bot penguat kuasa”, tambah Julaihi.

    “Diharapkan dengan jumlah penglibatan ini, saya yakin keselamatan sistem pengangkutan sungai dapat dikawal dengan baik , sekaligus saya berharap anak-anak perantauan atau orang ramai yang hendak balik ke kampung mudah-mudahan dapat sampai ke destinasi masing-masing begitu juga ketika pulang ke tempat bekerja,” ujarnya lagi.

    Julaihi semasa menyampaikan ucapan padaMajlis Pelancaran Operasi Penguatkuasaan Perayaan Hari Gawai, Hari Raya dan Cuti Persekolahan 2019

    Mengakhiri ucapannya Julaihi menasihati orang ramai yang berada di terminal-terminal utama agar sentiasa berhati-hati untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini seperti kes ragut dan sebagainya. Para pengguna perlu menjaga keselamatan barang dan diri sendiri serta patuh kepada arahan petugas keselamatan kerana pihak penguatkuasa tidak mampu untuk memberi tumpuan kepada setiap individu lantaran perlu menjaga keadaan keselamatan secara keseluruhannya.

    Hadir sama pada majlis tersebut, Dr Murni Suhaili, Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, En. William Jinep, wakil kepada Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak, En.Richard Tajan, Controller Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Ketua-Ketua Masyarakat, Ketua-Ketua Kaum, Tuai-Tuai Rumah, Ahli-Ahli Jawatankuasa Majlis, Masyarakat Perkapalan serta tetamu jemputan yang lain.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    PETROS kekal sebagai aggregator tunggal sah di Sarawak-Julaihi

    0
    KUCHING, 14 NOVEMBER 2024: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) terus mengukuhkan peranannya sebagai agregator gas tunggal di Sarawak dengan menandatangani beberapa Perjanjian Jualan Gas (GSA)...