KOTA SAMARAHAN, 18 MEI (SNN) – Malayan Banking Berhad (Maybank) telah memilih Pusat Pembangunan Pelajar, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) semenjak tahun 2018 untuk menjadi rakan kolaborasi. Ia dipersetujui untuk menganjurkan program bertaraf antarabangsa dalam pencarian siswazah (tidak terhad kepada sesuatu jurusan sahaja) yang memenuhi kriteria ditetapkan. Program yang direka khas semenjak tahun 2012 untuk mencabar daya intelek seseorang siswazah, menguji tahap kreativiti para peserta, dan paling utama mencabar kemampuan daya ketahanan seseorang dalam melengkapkan cabaran-cabaran yang disediakan oleh pihak penganjur.
Dr. Faisal Ali, Timbalan Dekan Pusat Pembangunan Pelajar UNIMAS telah sudi hadir bagi merasmikan pertandingan di peringkat kampus tersebut. Beliau menyatakan rasa terima kasih kepada Maybank atas kepercayaan terhadap kemampuan UNIMAS sebagai tuan rumah bagi program berprestij yang terbukti melahirkan graduan yang berdaya saing dan mempunyai keboleh pasaran yang tinggi. Turut disampaikan adalah ucapan penghargaan dan tahniah kepada para peserta daripada ketiga-tiga buah universiti.
Maybank Go Ahead Challenge (MGAC) pada bulan Februari 2019 telah melakukan jerayawara ke universiti-universiti awam dan universiti-universiti swasta untuk mempromosikan program yang dibiayai oleh Maybank tersebut. Kemudian, pada bulan April sehingga Mei 2019, jerayawara diteruskan lagi dengan program yang diadaptasikan daripada The Amazing Race, bermula dengan cabaran dalam talian dan para pemenang bertanding di UNIMAS untuk melayakkan diri menyertai peringkat nasional. Sumbangan Fatin Bakip