KUCHING (9 Julai): Syarikat penerbangan baharu, AirBorneo, menetapkan kadar tambang sekitar RM375 secara konsisten sepanjang tahun sebagai langkah menstabilkan harga tiket dan menjadi rujukan kepada syarikat penerbangan lain.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menjelaskan bahawa pendekatan ini bertujuan memastikan rakyat menikmati tambang yang lebih stabil tanpa terikat dengan musim puncak atau cuti perayaan.
Beliau menyatakan, ketika ini tambang penerbangan ke Kuala Lumpur dan Singapura boleh mencecah sehingga RM1,000, manakala tiket kelas ekonomi pula sekitar RM800 pada waktu tertentu. Dengan adanya AirBorneo, kadar tambang akan dikekalkan pada paras RM375 sepanjang tahun tanpa perubahan.
Premier menambah, pelaburan dalam sektor penerbangan bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat penerbangan, malah turut merangsang sektor pelancongan, perhotelan, makanan dan industri sokongan lain. Pulangan daripada AirBorneo perlu dilihat dalam konteks ekonomi makro yang memberi kesan jangka panjang.
Sebagai contoh, beliau merujuk kepada kejayaan Dubai melalui Emirates dan Singapura dengan Singapore Airlines yang menjadi pemacu pembangunan ekonomi negara masing-masing.
Selain itu, pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa baharu di Tanjung Embang bersama AirBorneo dijangka menjadi pemangkin baharu, mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab ekonomi serantau serta menyokong pertumbuhan negeri menjelang 2030.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, serta beberapa pemimpin negeri dan wakil industri. – Sumber EDISI UKAS
Gambar: Shafiq Khir




