More
    Home Sarawak Kuching JMS bercadang mewartakan manuskrip Jawi klasik dipercayai ditulis oleh Sultan Tengah

    JMS bercadang mewartakan manuskrip Jawi klasik dipercayai ditulis oleh Sultan Tengah

    KUCHING (Jun 11): Jabatan Muzium Sarawak (JMS) bercadang untuk mewartakan manuskrip Jawi klasik yang dipercayai ditulis oleh Sultan Tengah atau Sultan Ibrahim Ali Omar Shah ibni Almarhum Sultan Muhammad Hassan.

    Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia susulan penemuan sebuah manuskrip Jawi klasik yang mempunyai nilai sejarah tinggi, dipercayai ditulis oleh Sultan Tengah atau Sultan Ibrahim Ali Omar Shah ibni Almarhum Sultan Muhammad Hassan, seorang tokoh penting dalam sejarah awal Sarawak.

    Katanya, manuskrip bertajuk Pengembaraan Sri Sultan dan Sultan Tengah ke Sebuah Gunung itu kini dalam perancangan untuk diwartakan di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019 serta dicalonkan bagi pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menerusi program Memory of the World.

    “Penyelidikan lanjut terhadap manuskrip tersebut telah dijalankan pada tahun 2021 oleh pasukan penyelidik JMS bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak.

    “Menjelang tahun 2022, manuskrip setebal 179 halaman itu berjaya ditransliterasikan sepenuhnya oleh penyelidik JMS dengan bantuan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), di bawah penyeliaan dan pengesahan pakar manuskrip UiTM Sarawak,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Warisan Sarawak 2026 di sini, hari ini.

    Abdul Karim berkata ketika ini, penyelidik JMS dan UiTM Sarawak sedang melaksanakan analisis kandungan bagi meneliti secara mendalam maklumat sejarah yang terkandung dalam manuskrip berkenaan.

    “JMS bercadang mewartakan manuskrip tersebut di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019 serta mencalonkannya bagi pengiktirafan UNESCO di bawah program Memory of the World (Memori Dunia),” katanya.

    Mengulas mengenai penempuan, beliau berkata secara ringkas manuskrip tersebut mengisahkan pengalaman serta pelbagai peristiwa yang dilalui sendiri oleh Sultan Tengah bersama individu-individu yang berada di sekeliling baginda pada zaman tersebut.

    Sultan Tengah merupakan putera Sultan Muhammad Hassan, Sultan Brunei ke-9 yang memerintah antara tahun 1582 hingga 1598.

    Selepas kemangkatan ayahandanya, baginda ditabalkan sebagai Sultan Sarawak pada tahun 1599 bagi mengelakkan perebutan takhta dengan kekandanya, Sultan Abdul Jalilul Akhbar yang kemudiannya menjadi Sultan Brunei ke-10.

    Dalam perkembangan berkaitan, Mesyuarat Majlis Warisan Sarawak katanya turut bersetuju mewartakan beberapa tapak dan struktur bersejarah sebagai warisan negeri.

    Antara yang terlibat ialah Kuarters Jururawat Lama dan Bangunan Jepun di Kuching, Rumah Api Tanjung Lobang serta Empangan Salome di Miri, Kubu Ranee di Saratok, selain Tapak Laluan Kereta Api Lama Sarawak dan Depoh Penyelenggaraan di Kuching.

    Sementara itu berhubung dua muzium di Kuching yang baharu, Abdul Karim mendedahkan, ia menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

    “Muzium Industri Brooke Dockyard yang dibuka kepada orang ramai pada 20 April 2026 terus menerima sambutan menggalakkan apabila merekodkan 37,126 pengunjung setakat 31 Mei lalu.

    “Manakala Taman Arkeologi Santubong dan Pusat Wallace yang mula beroperasi pada 4 Oktober 2025 pula mencatatkan seramai 16,758 pengunjung dalam tempoh sama,” katanya. SUMBER: Utusan Borneo Online

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    JMS bercadang mewartakan manuskrip Jawi klasik dipercayai ditulis oleh Sultan Tengah

    0
    KUCHING (Jun 11): Jabatan Muzium Sarawak (JMS) bercadang untuk mewartakan manuskrip Jawi klasik yang dipercayai ditulis oleh Sultan Tengah atau Sultan Ibrahim Ali Omar...