LAWAS (7 Jun): Jambatan Bandar Lawas yang bakal menjadi jambatan ikonik dan penghubung utama utara Sarawak dijangka siap sepenuhnya September tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu bahawa jambatan ini adalah sebahagian daripada rangkaian bagi laluan Lebuh Raya Pesisir Utara(NCH) melalui bandar Lawas terus menghubungkan kawasan seberang bandar Lawas.

“Jambatan Bandar Lawas ini dari segi perkembangannya, sudah mencapai 97 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada September tahun ini. Pada masa ini ada beberapa perkara lagi yang perlu dibuat dan kita juga membuat beberapa pertambahan untuk mengindahkan lagi jambatan ini.
“Apabila siap jambatan ini kelak, ia akan memendekkan masa untuk perjalanan ke bandar Lawas dan ia akan menyambung terus ke seberang Jalan Lawas ke Merapok ke Sabah itu dan ini adalah sebahagian daripada projek di bawah NCH,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke jambatan dan tapak bangunan baru PERKIM Cawangan Lawas hari ini.
Turut sama ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pengarah Agensi Pembangunan Utara Sarawak(NRDA) Datu Ubaidillah Latip, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pengarah Urusan Tektonic and Sons Lee Chin Tek dan Pengerusi PERKIM Cawangan Lawas Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud.
Awang Tengah optimis bahawa jambatan ini akan menyumbang kepada pembukaan dan pembangunan kawasan seberang Sungai Lawas bagi perlaksanaan beberapa projek mega.
Ini memastikan pembangunan setara berlaku di kawasan bandar Lawas dan seberang bandar Lawas itu sendiri. SUMBER: TVS




