KUCHING, 25 Februari 2019 (SNN) – Semua pihak yang bertanggungjawab tentang pendidikan kawasan pesisir mesti dimulakan di peringkat sekolah rendah. Dengan persiapan dan tindakan awal yang berterusan akan meningkatkan pencapaian murid-murid untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat tertinggi.
Demikianlah nawaitu YB Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak dan wakil rakyat DUN N. 27 ketika berucap di Majlis Kesyukuran Dan Apresiasi Majlis Guru Besar ( MGB ) Zon Sebangan 2019 pada 22 Februari 2019 di sebuah hotel terkemuka di Bandaraya Kuching. Beliau berkata, “Kalau ingin melentur buluh biarlah dari rebungnya. Adalah dijangkakan tahap pendidikan bermutu di peringkat sekolah rendah akan dapat membolehkan pelajar dari kawasan luar bandar khususnya dari Zon Sebangan khasnya dan kawasan Sebuyau pada amnya akan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi hingga ke peringkat universiti. Ini diharap dapat melahirkan modal insan yang lebih ramai dan berkualiti untuk Sarawak khasnya dari kawasan luar bandar.”
Julaihi mengucapkan tahniah dan syabas kepada MGB Zon Sebangan kerana dapat menganjur dan berterima kasih atas jemputan ke majlis yang penting untuk menghargai jasa semua Guru Besar (GB) dari 10 buah sekolah dalam Zon Sebangan serta guru2 yang berjaya meningkatkan mutu pendidikan di sekolah masing-masig khususnya dalam peperiksaan UPSR 2018. Tahniah dan syabas kepada 6 buah sekolah rendah dari Zon Sebangan yang memperolehi kelulusan 100% dalam peperiksaan UPSR tahun 2018 yang lalu. Ini adalah satu peningkatan dan pencapaian yang amat membanggakan.
Di majlis itu juga Julaihi telah menyampaikan sumbangan geran Projek Kecil Luar Bandar atas kejayaan sekolah-sekolah dari Zon sebanyak RM 40,000.00 kepada Majlis Guru Besar Zon Sebangan. Di samping itu juga beliau menyumbangkan RM10,000 untuk setiap PIBG.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Cikgu Kasturi, Pengerusi Majlis Guru Besar (MGB) Zon Sebangan/Guru Besar SK Segali dan En Awang Ahmad Awg Sadid, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan. Di samping itu semua Guru Besar dan guru dari sepuluh buah sekolah rendah dalam Zon Sebangan dari DUN Sebuyau turut memeriahkan majlis.