SEBUYAU, 20 OKTOBER 2024 (SNN): Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkesempatan hadir memeriahkan dan merasmikan program ‘Jom Berami di Sebuyo 2024’ bertempat di dataran pasar pekan Sebuyau pada Sabtu.
Menerusi kenyataan beliau, program yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 18 Oktober lalu hingga 20 Oktober 2024 itu diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti gerai jualan dari lebih 100 peniaga, pertandingan memancing, futsal, karaoke, bertandak dan banyak lagi.
Beliau yang hadir di pesta itu berkesempatan meninjau tapak ‘Pertandingan Memancing Terbuka’ di benteng laut Sebuyau yang mana dianggarkan seramai 250 orang peserta mengambil tempat bagi merebut hadiah utama iaitu wang tunai sebanyak RM10,000, naib johan RM5,000 dan tempat ketiga RM3,000 serta saguhati untuk dua puluh teratas RM150.
Selain itu, katanya, pertandingan futsal terbuka juga sudah berlangsung sejak hari pertama program dilaksanakan yang mana pasukan yang bertanding akan merebutkan hadiah utama sejumlah RM5,000 manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing RM3,000 dan RM1,500 serta tempat keempat RM500.
Pada sebelah malam pula, Dato Sri Julaihi turut hadir memeriahkan pertandingan Tandak Melayu Lama & Karaoke bertempat di Dewan Pembangunan, Sebuyau yang menyaksikan seramai 15 kumpulan betandak mengambil bahagian dan 20 orang peserta karaoke.
“Pertandingan Tandak Melayu Lama telah dimenangi oleh Kumpulan Alun Tradisi dari Kampung Moyan Asajaya yang membawa pulang hadiah tunai RM1,000 beserta piala selaku johan.
“Ini diikuti oleh Kumpulan Nang Rindok Sri Dani dari Kampung Tabuan Kuching selaku naib johan yang membawa pulang hadiah tunai RM 800 berserta piala. Kumpulan Warisan Gedong dari Gedong mendapat tempat ketiga yang membawa hadiah tunai RM 600 beserta piala.
“Johan pertadingan karaoke pula ialah Salmah Marikan dari Kuching yang membawa pulang hadiah tunai RM 500 beserta piala.Naib Johan Encik Beb membawa pulang hadiah tunai RM 400 beserta piala dan tempat ketiga dimenangi oleh Jeraie B membawa pulang hadiah tunai RM 300 beserta piala,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, acara kemuncak bagi Program Jom Berami Di Sebuyo 2024 akan disajikan pentas rakyat dimana akan menampilkan beberapa artis tempatan dari Sarawak dan Kuala Lumpur.
Terdahulu, beliau juga turut berpeluang beramah-mesra bersama para peniaga di gerai-gerai jualan dan peserta yang mengambil bahagian dalam acara dipertandingkan.