KUCHING: Kerajaan Sarawak secara prinsip bersetuju untuk bekerjasama dengan Kumpulan UEM dalam membangunkan projek solar 500 megawatt berskala besar di kawasan Baram.
Perkara tersebut telah disuarakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa menerima kunjungan hormat daripada Kumpulan UEM, Planet QEOS dan Khazanah Nasional Berhad di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya pada Rabu.
Pengerusi Kumpulan UEM, Datuk Amran Hafiz Affifudin berkata, buat masa ini satu kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) akan dijalankan bagi melihat kesesuaian projek tersebut.
“Projek ini mengenai pembangunan 500 megawatt solar berskala besar di daerah Baram. Kita berasa projek ini akan menjadi satu ‘needle mover’ dan secara keseluruhannya amat baik untuk semua pemegang taruh di Sarawak dan juga Malaysia secara amnya.
“Premier Sarawak amat menyokong secara prinsipal, namun begitu mana-mana projek tertakluk kepada ‘feasibility study’ yang akan kami jalankan secara segera dan beliau mencadangkan supaya kita cepat kembali ke sini untuk menyatakan keputusan kajian tersebut dan akan menyegerakan perkara tersebut,” ujar beliau.
Sebelumnya, dua syarikat tenaga dari China yang turut melakukan kunjungan hormat juga telah menyatakan hasrat untuk meletakkkan pelaburan sebanyak USD 10 bilion dalam pembangunan sumber tenaga hijau di Sarawak.
Pengarah Shanghai Electric Malaysia, Zhang Xiaohui berkata, syarikatnya dan China Three Gorges International Limited telah mula bertapak di Sarawak sejak 10 tahun lalu dan dengan pengalaman dan kejayaan dalam bekerjasama dengan syarikat di Sarawak menambah keyakinan untuk mereka melabur lebih lagi.
“Pada ketika ini kami percaya bahawa di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, negeri ini akan menjadi hab tenaga hijau jadi kami ingin melanjutkan sokongan.
“Jadi kami dari China Three Gorges dan Shanghai Electric mahu mengambil bahagian dalam pembangunan tenaga hijau ini dan kami merancang untuk melabur lebih USD 10 bilion di Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Wisma Bapa Malaysia.
Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari juga turut menerima kunjungan hormat daripada Mubadala Energy yang diketuai Presidennya, Nr Khalfan Al Mansoori dan Ketua Perhubungan Luar & Komunikasi Mubadala Energy, Varian Ignatius.
Turut hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Sri Julaihi Narawi, Peguam Besar Sarawak; Datu Saferi Ali, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU); Datu Lester Mathew, Pengerusi Eksekutif Planet QEOS; Dino Bidari, Pengarah (Pelaburan) Khazanah Nasional Berhad; Mohd Firdaus Hisham, Ketua Pegawai Eksekutif Planet QEOS; Dr. Gabriel Walter, Ketua Pegawai Operasi Planet QEOS; Lam Poh Lian, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra Berhad; Harman Faiz Habib Muhamad dan Ketua Pembangunan Perniagaan UEM Lestra Berhad; Noor Hafifi Jalal, Presiden Shanghai Electric Power T&D (M) Sdn. Bhd; Shao Jian Ming, Ketua Pegawai Eksekutif China Three Gorges International Limited; Chen Hui, Naib Presiden Shanghai Electric Power T&D (M) Sdn. Bhd; Yang Xing Hai, dan Pengerusi Shanghai Electric Malaysia; Chen Ping-UKAS