MIRI, 12 MEI 2024 (SNN): Pemergian Yang di-Pertua Dewan Negara mendiang Datuk Mutang Tagal yang berjiwa rakyat disifatkan sebagai satu kehilangan yang besar kepada Sarawak terutama kepada komuniti Dayak daripada etnik Lun Bawang.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, mendiang merupakan seorang pemimpin dan ketua yang adil kepada semua komuniti di Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.
“Datuk Mutang Tagal adalah individu yang adil dan merupakan individu pertama dari etnik Lun Bawang yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara sekaligus membuktikan mendiang mendapat kepercayaan daripada semua lapisan masyarakat,” kata beliau dalam satu kenyataan selepas menghadiri Majlis Pemberian Penghormatan Terakhir mendiang di Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Jalan Lapangan Terbang, Miri, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ketibaan Premier Sarawak turut diiringi oleh isteri Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Bujang pada jam 1 petang serta barisan Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Unggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian.
Hadir sama memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang adalah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Menteri Kabinet Sarawak dan tetamu kenamaan lain.
Terdahulu, jasad mendiang Yang di-Pertua Dewan Negara itu selamat tiba di Lapangan Terbang Miri tepat pada jam 10.40 pagi menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Subang.
Manakala pada Isnin ini, upacara kebaktian akan diadakan di Gereja SIB Canada Hill, Miri bermula pada jam 9 pagi sebelum urusan pengebumian dilakukan di Perkuburan SIB, Lambir Miri.
Sementara itu, ketika ditemui media, bapa kepada mendiang Datuk Mutang turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pelbagai lapisan masyarakat yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.
Mendiang yang berusia 70 tahun menghembuskan nafas yang terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 11.46 pagi Jumaat.-UAKS