KUCHING, 10 MEI 2024 (SNN): Pameran dan Persidangan Air dan Air Buangan Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2024 yang akan berlangsung bermula 23 hingga 25 Oktober 2024 ini dijangka akan menarik 1,000 penyertaan deligasi pelbagai negara.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi memberitahu, bertemakan ‘Merapatkan Penyelesaian untuk Kelestarian Air’ serta slogan ‘Flowing Future’ BIWWEC 2024 yang merupakan acara dwitahunan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bermula 23 hingga 25 Oktober ini.
“BIWWEC 2024 bertujuan untuk mengusahakan penyelesaian aktif dan usaha sinergi melalui teknologi pintar dna inovasi di Borneo selain mengadakan forum yang nantinya akan menampilkan lebih 30 penceramah dan ahli panel antarabangsa melibatkan 80 sesi sepanjang tiga hari program berlangsung.
“Penceramah itu nanti terdiri daripada golongan profesional tempatan dan antarabangsa dalam air, air buangan (sisa) dan industri berkaitan termasuklah hidrogen,” katanya dalam satu sidang media selepas menyempurnakan pelancaran BIWWEC 2024 di Bilik Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Tambah beliau, edisi BIWWEC 2024 kali ini berpusat kepada tiga asas utama iaitu Air Mampan, Air dan Tenaga serta Kelestarian Kewangan untuk Aset-Aset Air dan Inovasi Air Digital.
Katanya, BIWWEC 2024 juga berfungsi sebagai landasan pelancaran untuk Kongres Air Dunia Persatuan Air Antarabangsa 2028 dengan Kuching telah terpilih sebagai tuan rumah hasil daripada proses bidaan yang panjang dan kompetitif dan merupakan yang pertama diadakan di rantau ASEAN.
“Difahamkan, faktor utama penganugerahan Sarawak sebagai tuan rumah untuk kongres itu nanti adalah kerana Visi Sarawak untuk beralih menjadi hab kemampanan dan inovasi ASEAN seperti ayng ditetapkan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030,” tegasnya.
Ujar beliau, BIWWEC 2024 itu nanti akan dirasmikan oleh YAB Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sekaligus menyampaikan ucaptama pada persidangan itu nanti.
Turut hadir sama ialah kedua-dua Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Liwan Lagang dan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengerusi Pengelola BIWWEC 2024; Ir Rodziah Mohamad, Pengerusi Malaysia Water Association (MWA) Cawangan Sarawak; Kelvin Kuek, Setiusaha Tetap MUT; Jafri Lias dan Pagawai Kanan MUT dan Agensi Air MUT serta AJK MWA Sarawak.