SEBUYAU, 27 APRIL 2024 (SNN): Kerajaan Negeri Sarawak dengan persetujuan Kerajaan Persekutuan akan membina sebuah sekolah baharu di Sebuyau menggunakan dana kerajaan negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah membuat perbincangan awal bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki mengenai anggaran kos yang diperlukan bagi membina sekolah itu.
Katanya, Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim tempoh hari juga telah bersetuju dengan perkara berkenaan jadi oleh kerana itu beliau berani untuk menggunakan dana kerajaan negeri sebagai pendahuluan untuk membina sebuah sekolah baharu di Sebuyau.
“Setelah perbincangan dilakukan dengan Setiausaha Kerajaan Sarawak, beliau memberitahu saya bahawa anggaran dana yang diperlukan adalah sekitar RM50 hingga RM60 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Sebuyau 2024 pada Sabtu.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut telah mengarahkan Datuk Amar Mohamad Abu Bakar untuk menyampaikan perkara berkenaan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak bagi melaksanakan projek tersebut.
Terdahulu, Perdana Menteri ketika melakukan lawatan kerja ke Sarawak pada bulan Ramadan lepas telah memberi pelepasan kepada Kerajaan Sarawak untuk menggunakan dana sendiri terlebih dahulu untuk menaik taraf dan bina baharu sekolah yang kemudiannya akan dibayar semula oleh Kerajaan Pusat.
Turut hadir sama memeriahkan majlis adalah Yang di-Pertua Negeri Sarawak; Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau; Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak; Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan; Datuk Dr Lipin Lamat, Ahli Parlimen Batang Lupar; Mohamad Shafizan Kepli, ADUN Simunjan; Awla Dris, ADUN Beting Maro; Razaili Gapor.