KUCHING, 29 MAC 2024 (SNN): Peratusan Projek Pembinaan Wisma Melayu milik Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di Jalan Dilpomatik, Petra Jaya kini mencapai 30 peratus siap.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Pemegang Amanah AKYBMS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, mengikut jadual yang telah ditetapkan kepada kontraktor dilantik pembinaan wisma berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2025 nanti.
Katanya, Wisma Melayu Sarawak yang dibina di atas tanah seluar 6.4 ekar itu bakal mempunyai dewan kedua terbesar selepas Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bahkan akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain.
“Antaranya termasuklah dewan serbaguna berkapasiti 2,500 orang pada satu-satu masa, bilik seminar, ruang terbuka, galeri sejarah dan budaya Melayu, pejabat pentadbiran, taman landskap dan surau.
“Semua ini adalah dalam fasa pertama manakala bagi fasa kedua pula kita merancang akan membina bangunan komersial seperti hotel jika perlu,” kata beliau pada sidang media selepas melakukan tinjauan di tapak Projek Wisma Melayu Sarawak pada Khamis.
Tambah beliau lagi, dengan progres kemajuan yang dicapai ketika ini amatlah membanggakan dan berharap pihak kontraktor dapat mengekalkan momentum supaya sasaran projek siap seperti yang telah dijadualkan.
Untuk rekod, idea tercetusnya pembinaan Wisma Melayu Sarawak ini adlah ilham daripada Allahyarham Pehin Sri Datuk Patinggi Adenan Satem selaku bekas Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS semasa Seminar Budaya Melayu Sarawak ppada 2007.
Upacara majlis pecah tanah Wisma Melayu Sarawak pula telah disempurnakan oleh YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Disember 2020 lalu.
Turut hadir sama adalah Timbalan Pengerusi AKYBMS; Dato Sri Mohd Naroden Majais, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan; Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Wanita & Keluarga AKYBMS; Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta jemputan lain.-UKAS