KUCHING, 29 OGOS 2023 (SNN): Para guru diseru agar memberi pendedahan lebih mendalam lagi kepada golongan pelajar mengenai kepentingan tadbir urus demokratik dalam mengajar mereka berkenaan aspek demokrasi sejak pembentukan Persekutuan Malaysia.
Tuan Yang Terutama (TYT) Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, Malaysia termasuk Sarawak selama ini mengguna pakai sistem demokrasi berasaskan Sistem Westminster yang diguna pakai oleh pihak British.
“Adalah penting bagi anda sebagai guru untuk mengajar pelajar mengenai kepentingan proses demokrasi kerana ia akan membantu mereka memahami jenis sistem politik yang telah kita amalkan di negara ini sejak 60 tahun yang lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menerima rombongan guru dan murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Udin, Sarikei di Astana Negeri Sarawak pada Isnin.
Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menegaskan, DUN Sarawak merupakan badan perundangan tertinggi di negeri ini dan seorang Speaker memiliki peranan penting dalam menguruskan setiap mesyuarat antara Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri yang telah dilantik.
“Di Sarawak, Gabenor (Yang di-Pertua Negeri) adalah Ketua DUN, manakala Speaker ialah seperti Pengerusi Mesyuarat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, selaras dengan Ordinan Sarawak yang menyatakan bahawa dalam ketiadaan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Speaker DUN Sarawak akan memikul tanggungjawab bagi memangku tugas tersebut.
Ia sama seperti situasi masa kini di mana Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia memikul tanggungjawab sebagai Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak sementara Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menjalani proses pemulihan di luar negara.
Sementara itu, beliau juga berharap agar para guru dapat mendidik pelajar mengenai kepentingan sejarah Sarawak termasuk sebelum era pentadbiran Brooke.
“Kurikulum sekolah hanya tertumpu kepada Sejarah Sarawak sejak zaman Brooke, ia tidak menceritakan sejarah Sarawak sebelum itu,” ujarnya.
Manakala, Pegawai Tadbir Kanan Astana Negeri Sarawak Riziandy Nawawi dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan ucapan terima kasih kepada guru-guru Sekolah Kebangsaan Udin atas usaha menziarahi Astana Negeri Sarawak bagi memberi pendedahan kepada pelajar sekolah tersebut ketika musim cuti sekolah ini.
Rombongan SK Udin sebanyak sembilan guru dan 23 murid itu telah diketuai oleh Guru Besarnya Leonard Lee Ambrose Lawrence.
Selain Astana Negeri Sarawak, rombongan tersebut turut melawat ke Bangunan DUN Sarawak, Muzium Budaya Borneo, Petrosains di Dewan Suarah Kuching, Kampung Budaya Sarawak dan serta Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).