SONG, 23 OGOS 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak meluluskan dana sebanyak RM80 juta bagi membina dua loji rawatan air baharu masing-masing di Kapit dan Song bagi menampung keperluan bekalan air terawat penduduk setempat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi memberitahu, kedua-dua loji berkenaan kelak akan disambungkan kepada sistem grid yang mana akan menyokong satu sama lain untuk membekalkan air di dua kawasan berkenaan.
Katanya lagi, berdasarkan tapak loji sedia ada di Song yang mempunyai kapasiti 4 juta liter air sehari (MLD) ianya tidak dapat menampung permintaan air penduduk setempat yang semakin meningkat.
“Oleh kerana itu, kita akan membina satu lagi loji rawatan air baharu yang mempunyai kapasiti 50 juta MLD yang akan ditempatkan di pekan Kapit bagi menggantikan loji sedia ada yang berkapasiti 16.5 juta MLD.
“Berdasarkan rekod yang kita perolehi, jumlah permintaan air di Bahagian Kapit secara keseluruhannya kini adalah sebanyak 38.5 juta MLD yang dibekalkan oleh lima loji rawatan air termasuk di Song dan Kapit,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di tapak loji rawatan air di Song pada Selasa.
Mengulas lanjut, bagi mempercepatkan liputan telefon dan internet di seluruh Sarawak di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) sebanyak 53 menara SMART di Bahagian Kapit dan 16 buah daripada adalah untuk kawasan Song menerusi inisiatif Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia (SMART).
Selain itu katanya, sebanyak 98 buah menara JENDELA di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga dalam proses pembinaan di Bahagian Kapit.
Turut hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Komunikasi) merangkap ADUN Belaga; Datuk Liwan Lagang ,Timbalan Menteri Di Jabatan Premier merangkap ADUN Bukit Goram; Jefferson Jamit, ADUN Katibas; Lidam Assan,Pegawai Daerah Song; Harry Bruce Edwin, Pengarah MCMC Sarawak; Adiman Ajem, Jurutera Kanan JBALB; Robert Heng, Naib Presiden SEB; Dr Chen Shiun bersama Pengurus Wilayah Tengah SEB; Effendy Saiful & Pengurus RES SEB Wilayah Tengah; Mariana Sylvester Panau, Ketua Kejuruteraan Network & Operasi SDEC; Nee Ngie Sing dan semua wakil agensi yang berkaitan termasuk TM Sarawak@Zalizan Hajemi.