SEBUYAU, 12 MAC 2023 (SNN): Projek pembinaan Dewan Masyarakat dan Jalan menghubungkan Kampung Tungkah Melayu, Sebuyau yang telah siap sepenuhnya beri keselesaan kepada masyarakat setempat terutama untuk menjalankan aktiviti kemsyarakatan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkata, dua projek berkenaan dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang merupakan salah satu projek pembangunan di bawah DUN Sebuyau.
“Pembinaan Dewan Serbaguna ini dilaksanakan mengikut dua fasa dengan peruntukan sebanyak RM620,000 manakala projek pembesaran jalan baharu menuju ke Kampung berkenaan menelan kos sebanyak RM490,000.
“Dewan masyarakat ini mempunyai gelanggang badminton selain menyediakan kemudahan untuk aktiviti sosial selain turut disediakan padang futsal yang telah lama dibina di tapak berhampiran,” ucap beliau ketika merasmikan Dewan Serbaguna Kampung Tungkah Melayu pada Jumaat.
Beliau turut menyatakan harapannya agar penduduk dapat memanfaatkan pembangunan yang telah diusahakan oleh kerajaan Sarawak itu demi kesejahteraan bersama.
Turut hadir menyaksikan kedua-dua perasmian itu adalah wakil Pemangku Rasiden Bahagian Samarahan; Ahmad Yusuf Abdul Razak, Pegawai Daerah Sebuyau; Ayuradiman Bujang, wakil Jurutera Jabatan Kerja Raya Bahagian Samarahan; Chai Sin Lie, Penghulu Masyarakat Iban Kawasan Sebangan; Merum Babu dan Ketua Masyarakat Kampung Tungkah Melayu; Rahman Enggoi.