SRI AMAN, 05 MAC 2023 (SNN): Kekurangan pekerja antara faktor kelewatan projek pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 sehingga 96 hari dalam jadual pembinaannya.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata disebabkan itu jambatan kabel dengan kos RM223.6 juta sepanjang 870 meter (m) itu yang dijadual siap 24 November 2023 diunjurkan kepada 28 Februari 2025.
“Mereka (kontraktor) perlu mendapatkan lebih ramai pekerja,” katanya ketika melawat dan berbincang dengan wakil kontraktor projek terbabit di tapak projek itu, semalam.
Beliau berkata, pihaknya menyedari semasa pandemik Covid-19 lalu pekerja asing tidak boleh masuk ke Sarawak dan kemudian negara seperti China dan Indonesia mengamalkan dasar tutup pintu.
Katanya, kini negara terbabit sudah membuka pintu sempadan dan Kerajaan Sarawak telah membentuk pasukan petugas khas untuk memastikan semua permohonan pekerja asing diproses dengan pantas supaya masalah itu dapat diselesaikan.
“Kami di Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) memantau pembinaan projek itu dengan teliti,” katanya.
Uggah berkata, sebanyak 10 jambatan sedang dibina di sepanjang jalan raya pesisir pantai di negeri ini.-UKAS.