SEBUYAU, 15 NOVEMBER 2022 (SNN): Menara Sarawak Multimedia Authority Rural Telecomunication (SMART) dan Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) di Kampung Sg Ladon, Sg Bilis dan Senangeh kini siap beroperasi sepenuhnya.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi berkata, pelancaran menara SMART di tiga lokasi di tiga kampung terbabit sudah dapat digunakan dan bersedia untuk memberikan perkhidmatan jaringan internet kepada penduduk kampung.
“Menara SMART ini merupakan inisiatif kerajaan negeri yang dikendalikan oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) untuk menyediakan perkhidmatan jaringan internet di kawasan luar bandar seiring dengan hasrat Kerajaan Sarawak ke arah pendigitalan ekonomi.
“Tidak hanya itu penyediaan MySRBN di Rural Transformation Centre (RTC) di Sampat juga memberi kemudahan untuk komuniti setempat mendapat akses jaringan internet sekaligus dapat membantu mereka mempromosikan produk jualan mereka selain kawasan ini menjadi tempat persinggahan sementara pengguna jalan untuk ke Bandar Kuching atau ke Bahagian Utara Sarawak,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Menara SMART & My SRBN di RTC Sampat pada Ahad.
Julaihi yang juga ADUN Sebuyau menambah, SDEC dalam masa terdekat ini akan memasang peranti-peranti telekomunikasi di menara telekomunikasi secara berperingkat bagi memastikan mereka yang berada di kawasan luar bandar yang tidak mendapat akses internet yang baik dapat menikmati kemudahan itu.
Jelas beliau, rakyat Sarawak khususnya penduduk di kawasan Sebuyau diminta untuk terus menyokong usaha kerajaan negeri dalam membawa pembangunan yang lebih banyak lagi untuk kawasan luar bandar.