SARATOK, 11 JULAI 2022 (SNN): Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia 4 tahun dan 1 tahun tiga bulan maut dalam nahas melibatkan sebuah lori dan kereta berhampiran simpang Roban, Jalan Saratok-Sarikei pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.53 pagi sebelum mengerahkan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok ke lokasi.
Komander Operasi, PBK II Yusuf Bin Tamin memaklumkan, sejurus tiba di lokasi kejadian pasukan bomba bertindak mengeluarkan kesemua mangsa dari kenderaan tersebut dan tiga daripada mereka berjaya dikeluarkan pada jam 7.41 pagi manakala pemamndu masih tersepit.
Walau bagaimanapun, keempat-empat mangsa disahkan telah meninggal dunai oleh pasukan perubatan yang turut tiba di lokasi kejadian.
Kesemua mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.