MIRI, 13 APRIL 2019 (SNN) – Usahawan muda dari Sabah telah membuka kedai bundle Jalan-Jalan Korea (JJK) di Riam, Miri. JJK telah beroperasi semenjak awal tahun 2017 apa bila menyewa 6 unit tingkat bawah rumah kedai. Dengan demikian JJK merupakan kedai terbesar di Sarawak pada masa ini. Usahawan muda ini bernama Adzlin Datu Ugis (36) yang berani menyertai dunia perniagaan dan meninggalkan dunia pendidikan.
Dirasmikan oleh Awang Tengah
Kegigihan usahawan muda ini telah mendapat perhatian Yang Berhormat Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Pembangunan Industri dan Usahawan apa bila meluangkan masa merasmikan JJK pada 13 April 2019. Turut hadir dalam acara tersebut adalah Datu Dr. Sanib Said, Pengurus Besar, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) yang mengurus premis tersebut.
Acara perasmian adalah dengan membelah bundle yang penuh dengan beg-beg sinding. Beg-beg di dalam ini adalah percuma dan apa bila telah dibelah menjadi rebutan para pembeli yang ada di situ.
Awang Tengah sempat melawat ruang pameran dan jualan di tingkat bawah dan juga tingkat dua sambil diperhatikan oleh pembeli yang ada ketika itu. Beliau memuji usaha Adzlin dalam bidang perniagaan yang unik dan menarik. Adlin menerangkan bahawa perniagaan bundle telah berkembang ke Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei dan Bintulu.
Dari pembeli jadi peniaga
Adzlin berasal dari Tawau, Sabah dari keluarga yang bergiat dalam perniagaan. Masyarakat di situ ramai yang berniaga dan berjaya sehingga mampu memiliki kenderaan dan rumah yang mewah. Beliau memang maklum tentang perniagaan bundle yang telah lama bertapak di Sabah. Bagaimanapun perniagaan itu hanya aktif di tamu-tamu, termasuk tamu besar di Lawas yang diadakan setiap dua hujung minggu sebulan.
Adzlin berkata bahawa beliau bermula sebagai pembeli dan peminat pakaian bundle yang berjenama tetapi murah. Dalam satu pertemuan di Cafe Aseanika, jiran JJK, sebelum acara perasmian, beliau menceritakan semasa berkhidmat sebagai pensyarah di Politeknik Mukah sanggup pergi ke Kuching mencari pakaian bundle. Pada mulanya beliau membeli hanya untuk kegunaan sendiri tetapi kemudian rakan-rakannya dan pelajar berminat dengan baju, seluar dan kasut yang dipakainya. Peristiwa ini telah memberik ilham kepada beliau untuk menjual bundle ini kepada mereka dengan membeli bekalan dari Kuching. Tidak berapa lama kemudian pendapatan sampingan bundle ini telah meningkat lebih besar dari gajinya sebagai pensyarah. Akhirnya beliau membuat keputusan untuk menceburi bidang perniagaan bundle cara langsung dan berhenti dari makan gaji.
Adzlin menambah bahawa seseorang mesti berani mengambil risiko setelah mengkaji, berfikir dan merasa tentang bisnis yang ingin diceburi. Beliau menjelaskan jika kita ada idea perniagaan kita mesti berani kerana jika tidak orang lain akan membuat perniagaan yang serupa. Jika perniagaan orang lain itu berjaya kita akan menyesal untuk selamanya.
Bantu penduduk luar bandar
Di Sarawak, kata Adzlin, sebilangan besar peminat dan pembeli bundle adalah penduduk luar bandar. Memandang cara hidup yang dipengaruhi oleh cita rasa mewah maka pembeli luar bandar hanya mampu pakaian terpakai. Tetapi ini adalah pakaian berjenama dari luar negara seperti Korea, Jepun dan Kanada. Semua barangan di sini berharga kurang dari RM100 sementara harga RM10 dan RM20 menjadi tarikan pembeli di Miri dan juga Brunei. Di samping itu juga keperluan biasa seperti selimut berharga RM2 ringgit sahaja. Kasut diminati oleh pembeli muda dari luar bandar Miri.
Dengan keadaan ekonomi negara kini yang agak suram, Adzlin berasa gembira melihat orang luar bandar mampu bergaya dengan pakaian bundle yang berharga rendah. JJK terletak di GF 8858-8863, Block 1, Lambir Land District, Jalan Bintulu – Miri, EMart Riam, 98000 Miri, Sarawak, berdekatan dengan Lapangan Terbang Miri. Berita terkini dalam FB klik di sini.