KUALA LUMPUR: Seramai 13 lagi menteri Kabinet dan 23 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara hari ini.
Istiadat yang berlangsung di Balairong Seri itu turut disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali selain Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Susulan 13 menteri yang mengangkat sumpah hari ini menjadikan keseluruhan 26 menteri dalam Kabinet Dr Mahathir, 13 menteri terdahulu sudah mengangkat sumpah pada 21 Mei lepas.
Istiadat yang bermula 11 pagi itu didahului dengan kumpulan pertama Jemaah menteri yang diketuai Anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Sejurus penerimaan surat cara pelantikan, Syed Saddiq melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum mewakili Ketua Hakim Negara dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Istiadat angkat sumpah hari ini diakhiri oleh Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis yang dilantik Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar.
Kesemua mereka masing-masing turut menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Richard dan Ali. Istiadat itu berakhir dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Pada 10 Mei lalu, Dr Mahathir, 92, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh, sehari selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan tamatnya pemerintahan 61 tahun Barisan Nasional (BN).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, kemudian mengangkat sumpah mengetuai barisan 13 anggota Kabinet pada 21 Mei lalu.
Upacara mengangkat sumpah hari ini pula menyaksikan pelantikan 13 Menteri dan 23 Timbalan Menteri.