Rencana ini adalah dari DAH IKHWAN BLOG dan disiarkan oleh SNN dengan kebenaran.
Hanya seminggu selepas Pilihan Raya Kecil Slim, baru saya berkesempatan menulis artikel ini. Ini kerana saya perlu membuat kajian yang lebih teliti untuk merungkai suasana politik disaat persimpangan yang melanda politik masyarakat Melayu Semenanjung sekarang. Hanya dengan ini anda dapat gambaran yang lebih sahih tentang kekuatan parti-parti yang kini wujud dialam politik tanahair – iaitu sama ada Muafakat Nasional sudah berada ditangga yang cukup kukuh, sejauh mana pengaruh Pakatan Harapan sudah menurun ataupun samaada Perikatan Nasional sudah menjadi kurang relevan dalam suasana Muafakat Nasional yang kini dilihat semakin assertif atau menonjol.
Sebelum ini dalam Blog ini saya telah membuat banyak kajian dan ulasan beberapa pilihan Raya Kecil Pasca PRU 14, sejak PRK Semenyih pada 26 Januari 2019, di mana tanda-tanda penyatuan politik Melayu mulai berputik. Sekarang pada PRK Slim, setahun sembilan bulan sudah berlalu adakah gelombang Tsumi perpaduan Melayu di Semenanjung kini semakin kukuh dan sedang memuncak? Saya rasa jawabnya, ia dan tidak. Ia, kerana perpaduan ini mampu mengumpulkan undi Melayu dibawah satu payung Muafakat Nasional. Tetapi ini berlaku selagi parti-parti dibawah Muafakat Nasional masih bersepakat. Masyarakat Melayu akan berpecah semula sekiranya penyatuan politik dibawah satu payung ini gagal. Hakikatnya Melayu masih lagi berada dibawah beberapa parti politik dan mereka ini amat setia kepada parti-parti yang lebih lama bertapak. Sebaliknya kaum Cina amat setia kepada sebuah parti, iaitu Parti DAP dan parti lain dalam Pakatan Harapan hanya mendapat undi atas ehsan Parti DAP sahaja.
Keadaan seperti di atas tidak dapat dielakkan. Oleh itu kompromi antara parti politik Melayu amat perlu bagi mengekalkan dominasi Bumiputera dalam politik negara. Hakikatnya parti UMNO akan terus kekal menjadi parti yang dominan seperti kita jangka dalam artikel terdahulu, tetapi ia kini tidak cukup kuat menubuhkan sebuah kerajaan yang kukuh tanpa kerjasama parti lain seperti PAS, PPBM dan GPS dan mungkin juga ada puak di Sabah.
Dibawah payung Perikatan Nasional, Parti PAS akan menjadi penyumbang dari puak agama dan PPBM mungkin menjadi penyumbang di banyak kawasan campuran atas pengaruh Tan Sri Muhyddin Yassin yang sedang memuncak sekarang. Ada tanda-tanda kaum bukan Bumiputera di kawasan-kawasan ini, sebagai penyumbang undi penentu, lebih selesa dengan PPBM berbanding UMNO akibat kepincangan dalam UMNO dan dasar-dasarnya sendiri. Juga, mengikut tinjauan pihak Merdeka Center baru-baru ini, Tan Sri Muhyddin Yassin popular bukan sahaja di kalangan Bumiputera, tetapi juga dikalangan bukan Bumiputera. Sungguhpun demikian tidak banyak data PRK yang ada bagi menyokong hipotasis ini – kini ada hanya dua pilihanraya kecil diadakan selepas Perikatan Nasional berkuasa.
Pada PRK Chini yang terletak dalam kawasan Parlimen Datuk Seri Najib, sokongan pengundi Melayu dan orang Asli adalah amat tinggi kira-kira 91% sama seperti pada PRU 14 dahulu. Selain membuktikan kekuatan UMNO dan PAS, ini boleh juga ditakrifkan yang PPBM gagal memberi sumbangan dalam PRK ini.
Tetapi pada PRK terkini di kawasan DUN Slim ia lebih mengambarkan keadaan yang lebih realistik. Pada PRU 14 Parti PAS dan UMNO telah mendapat jumlah undi 65% sahaja tetapi dalam PRK seminggu lalu Muafakat Nasional mendapat 81.7% dari keseluruhan undi. Impak PPBM di sini sungguh ketara sekali.
Peningkatan undi setiap kaum di PRK Slim juga amat jelas sekali. Bagi pengundi Cina sokongan mereka kepada BN dalam PRU 14 tidak melebihi 5%, tetapi ini telah mulai meningkat kepada kira-kira 15% di PRK Rantau, dan terakhir sekali di Slim, selepas PN mengambil alih kuasa, di sekitar 35%.
Bagi undi dari kaum India pula, pada PRU 14, tdak sampai 30% yang menyokong BN, tetapi pada PRK selepas itu sokongan kaum India telah meningkat hingga melebihi 55% di PRK Slim. Ini selepas PN mengambilalih kuasa kerajaan Persekutuan.
Dengan sokongan pengundi Melayu yang amat tinggi kini kepada Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional, anda mungkin bertanya dimanakah letaknya peluang untuk Parti Pejuang Dr Mahathir? Ramai penganalisis berpendapat ia tidak punyai ruang untuk bertapak dalam suasana begini. Sayapun berpendapat begitu. Jika diadakan pilihanraya sekarang besar kemungkinan Parti Pejuang akan hapus, tanpa seorangpun calon yang menang, kecuali Tun Mahathir sendiri atas belas kasihan pengundi. Parti serpihan yang berada diluar pakatan politik utama, biasanya kecundang dan seterusnya hapus dari pesada politik negara. Ini telah berlaku kepada Parti Semangat 46, Parti Hamim, Parti Marhain dan banyak lagi.
Bagaimana pula peluang Pakatan Harapan? Perlu diingatkan kemenangan di peringkat Pilihan raya kecil tidak semestinya petanda kemenangan di Pilihan Raya Umum. Ini sudah terbukti dalam Pilihan Raya yang baru berlalu. Suasananya berbeza, stake politiknya berbeza dan voter turnout juga berbeza. Dalam sesuatu PRK, pengundi hanya memilih wakil kawasan sahaja dan tidak menjejaskan kedudukan kerajaan yang memerintah. Dalam PRU pula, ia melibatkan peluang untuk pembangkang menumbangkan kerajaan yang ada. Jadi kegairahan dan usahanya meningkat dalam sesuatu PRU, dan voter turnout juga meningkat seiring dengan usaha tadi. Apabila peluang sudah nampak, biasanya pihak pembangkan, terutamanya pengundi Cina dan jentera parti DAP dan PKR akan menggunakan top gear untuk menang. Maka bermacam dakyah politik dan suasana fitnah memfitnah akan berleluasa dan ramai pengundi Melayu terutama yang muda akan terpedaya. Dalam kajian dibuat sebelum PRU 14 saya telah membuktikan pengundi muda mudah dipengaruhi, dalam kata lain merupakan undi atas pagar. Ini telah terbukti benar berlaku pada PRU 14 yang lepas.
Dari sudut yang lebih positif, pembangkang kini ketandusan isu besar dan Tun Mahathir pula sudah keluar dari Pakatan Harapan. Namun demikian, pihak Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional, bersiaplah berhadapan dengan ujian yang cukup gatir pada PRU 15 nanti. TAMAT
DAH IKHWAN
SNN telah mendapatkan kebenaran untuk menyiarkan semula rencana ini. Rencana ini asalnya dimuatkan dalam blog DAH IKHWAN BLOG yang merupakan “Laman Blog untuk ulasan dan analisis lengkap dan objektif tentang ehwal semasa di Malaysia.”