KUCHING, 23 DISEMBER 2023 (SNN): Sebanyak 165,000 silinder gas kuning (MYGAZ) di seluruh Sarawak telah ditukar kepada silinder LPG bersubsidi PETROS dalam tempoh tiga minggu sejak awal Disember lalu.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, angka berkenaan mewakili lebih 50 peratus dari jangkaan pertukaran gas silinder yang disasarkan bagi tempoh tiga bulan yang ditetapkan untuk penukaran gas berkenaan.
“Sejak pelaksanaannya pada 1 Disember 2023 yang lalu, penukaran untuk silinder merah atau hijau PETROS telah berjalan lancar di seluruh Sarawak dan pengguna diingatkan untuk tidak panik menukarkan silinder kosong berkenaan kerana tiada had masa ditetapkan untuk proses itu.
“Kerajaan juga menjamin tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan kepada pelanggan untuk menukarkan gas silinder kuning kepada silinder LPG Bersubsidi PETROS,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menjelas lanjut, Julaihi mendedahkan PETROSNiaga juga telah melabur lebih RM50 juta untuk mengukuhkan rangkaian bekalannya, menaiktaraf kapasiti storan, menyuntik silinder gantian dan meningkatkan pengurusan logistik bagi memastikan kos sifar untuk pertukaran silinder oleh pelanggan di seluruh Sarawak.
“Silinder gas LPG Bersubisidi PETROS adalah merupakan barangan terkawal dengan harga ditetapkan pada RM26.60 untuk kutipan sendiri di mana-mana rangkaian peniaga PETROSNiaga di seluruh Sarawak.
“Di bawah Ordinan Pengagihan Gas, tiada orang atau perniagaan boleh mengedar atau menjalankan sebarang aktiviti berkaitan LPG termasuk penjualan di Sarawaj tanpa lesen sah yang dikeluarkan di bawah ordinan itu,” katanya lagi.
Jelas beliau, pihaknya menggesa pelanggan untuk menghubungi Khidmat Pelanggan PETROSNiaga di 1300-88-2122 jika ada peniaga, peniaga kecil atau peruncit mengenakan bayaran tambahan atau enggan menerima penukaran silinder gas LPG PETROS.