Kuala Lumpur 28 JUN 2020 (SNN) : Tun Dr Mahathir mengeluarkan satu kenyataan mencalonkan Presiden Parti Warisan Dato Seri Shafie Apdal sebagai perdana menteri Pakatan Harapan selepas persetujuan dicapai dalam satu pertemuan tidak rasmi bersama kepimpinan tertinggi Parti DAP, Amanah dan Warisan pada khamis lalu.
“Cadangan itu walau bagaimanapun harus dibincangkan terlebih dahulu secara terperinci diperingkat kepimpinan pusat Amanah, DAP serta Pakatan Harapan (PH),” kata Khalid Samad ketika dihubungi pihak Malaysiakini.
Tambahnya lagi, Amanah dan DAP berpandangan ianya sebagai satu pilihan baru bagi merealisasikan usaha mengembalikan semula mandat rakyat yang telah diberikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Katanya lagi, Mohamad Sabu telah memberitahu pihaknya pagi ini bahawa satu pertemuan akan diadakan bagi membincangkan perkara itu. “Kita mesti mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini, jadi apa sahaja cadangan mesti dipertimbangkan dan mungkin akan menetapkan syarat dan apa sahaja,” tambah Khalid Samad.
Ujarnya lagi, hal ini kerana PH berada dalam kebuntuan berhubung calon perdana menteri dalam usaha mengambil alih semula kerajaan pusat. -Sumber MalaysiaKini. Dilaporkan oleh Nizal.