KUCHING 30 JUN 2020 (SNN) : Kerajaan Sarawak akan melibatkan sektor swasta dalam merangka dasar ekonomi sosial pasca covid-19.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Unggah Embas berkata, antara lain, dasar itu bertujuan untuk mempromosikan eksport makanan negeri sekaligus memberi insentif kepada para pelabur. Hal ini dijelaskan beliau ketika membuat kunjungan ke sebuah syarikat tempatan memproses sos dan produk makanan, Thian Yien Enterprise Sdn Bhd, di Kuching semalam.
Datuk Amar Douglas Unggah yang juga Menteri Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, kerajaan negeri akan membantu syarikat-syarikat tempatan yang sedang berkembang untuk menembusi lebih banyak pasaran antarabangsa. “Perkara ini sejajar dengan visi ketua menteri menjadikan Sarawak sebagai pengeksport produk makanan menjelang tahun 2020,” tambahnya lagi.
Turut hadir sama isteri beliau Datin Aamar Doreen Mayang, Setiausaha Tetap Kementerian, Edwin Abit, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Dr. Alvin Chai dan Pengarah Urusan Syarikat Thian Yien Enterprise Sdn Bhd, Pooh Chee Ngee. -Sumber Ukas. Dilaporkan oleh Nizal.