Kuching, 14 Disember 2019 (SNN) : Prihatin terhadap beban yang ditanggung di kalangan rakyat Sarawak yang menghidapi sakit buah pinggang, semalam Kerajaan Negeri Sarawak di dalam Mesyuarat Kabinet telah meluluskan Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang. Bantuan ini adalah berbentuk bantuan klinikal yang mana ianya meliputi seperti berikut:
1.RM3,000 sekali beri untuk pemasangan Arteriovenous Fistula (AF);
2.RM240 sebulan untuk suntikan Erythropietin (EPO);
3.Maksima RM200 untuk setiap sesi hemodialisis;
4. Maksima RM2,800 sebulan untuk pesakit mengambil Continuos Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) sekiranya tiada slot untuk rawatan hemodialisis;
Selain itu, Kerajaan Sarawak turut memberikan bantuan sokongan seperti berikut:
1. Penempatan 30 mesin hemodialisis yang baharu secara berperingkat di dalam tempoh lima tahun (enam mesin setahun);
2. RM50 untuk bantuan pengangkutan bagi setiap sesi rawatan (keutamaan kepada pesakit luar bandar);
3.Bantuan transplan sebanyak RM5,000 untuk kos penginapan dan pengangkutan bagi pesakit yang menjalani pemindahan buah pinggang di Hospital Kuala Lumpur.
Syarat untuk pesakit buah pinggang mendapatkan bantuan adalah seperti berikut:
1.Warganegara Sarawak tanpa mengira umur yang tergolong di dalam kumpulan B40 dan M40;
2.Bukan penjawat dan pesara awam;
3.Bukan pencarum PERKESO
Sebarang permohonan untuk mendapatkan bantuan ini dikehendaki berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) kerana ianya akan berkuatkuasa mulai tahun 2020.
Dalam perkembangan berkaitan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata bantuan itu merupakan satu lagi langkah kerajaan negeri untuk membantu pesakit dari kumpulan B40 dan M40.
Bantuan khas ini katanya akan mula dilaksanakan pada tahun 2020 dengan unjuran peruntukan sebanyak RM4, 673917.00 bagi tahun pertama dan RM30,785,584.00 untuk tempoh lima tahun sehingga 2024.
“Bantuan ini meliputi bantuan klinikal dan bantuan sokongan di mana untuk bantuan klinikal pesakit akan dibantu bagi pemasangan Arteriovenous Fistula (AF) secara sekali beri iaitu maksimum RM3,000 untuk seorang pesakit.
“Bantuan klinikal lain termasuklah, suntikan Erythropietin (EPO) maksimum RM240 sebulan untuk seorang pesakit dan rawatan hemodialisis maksimum RM200 seorang bagi setiap sesi rawatan atau RM2,400 sebulan.
“Bantuan klinikal ini turut meliputi Continuos Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) maksimum RM2,800 sebulan untuk seorang pesakit sekiranya tiada slot untuk rawatan hemodialisis,” katanya pada sidang di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, semalam.
Tambah Fatimah, dari segi bantuan sokongan pula, bantuan khas ini meliputi penempatan 30 mesin hemodialisis baharu secara berperingkat untuk tempoh lima tahun (enam mesin setahun).
Bantuan sokongan ini turut merangkumi bantuan pengangkutan RM50 untuk setiap sesi rawatan dengan keutamaan kepada pesakit luar bandar serta bantuan transplan RM5,000 untuk kos penginapan dan pengangkutan bagi pesakit yang menjalani pemindahan buah pinggang di Hospital Kuala Lumpur.
“Bantuan khas ini adalah dalam bentuk rawatan di mana pusat tempat pesakit menjalani rawatan akan menuntut bayaran daripada kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS).
“Justeru, pesakit warganegara Sarawak tanpa kira umur yang tergolong dalam kumpulan B40 dan M40 serta bukan penjawat atau pesara awam dan bukan pencarum PERKESO layak untuk memohon bantuan ini,” katanya.
Bantuan menurut Fatimah akan diberikan mengikut keperluan pesakit dan permohonan dibuka kepada 100 pesakit baharu mulai tahun 2020 menerusi JKMS.
Sekali lagi Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak telah mengambil satu langkah ke hadapan bagi memastikan kebajikan rakyat Sarawak sentiasa dijaga lebih-lebih lagi untuk golongan yang kurang berkemampuan serta di dalam musibah kesakitan.
Sumber : UKAS, Utusan Sarawak