More
    Home Malaysia Sarawak komited terus maju dalam menghadapi cabaran antarabangsa termasuk perubahan iklim global

    Sarawak komited terus maju dalam menghadapi cabaran antarabangsa termasuk perubahan iklim global

    LONDON, 24 APRIL 2024: Sarawak komited untuk berkembang dan bangkit mencapai kejayaan serta berazam untuk kekal berdaya saing dan relevan sambil mencipta peluang untuk pertumbuhan, keselamatan ekonomi dan pembangunan mampan dalam menghadapi cabaran antarabangsa termasuk perubahan iklim global.

    Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau optimis kerana telah menjangkakan kemakmuran dan pertumbuhan yang lebih besar untuk negeri ini pada masa hadapan.

    Mengenai tenaga lestari khususnya, beliau berkata komitmen kerajaan Sarawak terhadap tenaga lestari tidak berbelah bahagi, dengan 70 peratus daripada penjanaan kuasa 5,625 megawatt (MW) Sarawak diperoleh daripada sumber boleh diperbaharui terutamanya kuasa hidroelektrik.

    “Unjuran pertumbuhan ekonomi Sarawak antara lima dan enam peratus menandakan trajektori yang positif berdasarkan asas kukuh yang diletakkan pada tahun sebelumnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor dan Compound Semiconductor Applications (CSA) Catapult yang berpangkalan di United Kingdom (UK) di Dewan Rakyat, Parlimen UK, Westminster pada Selasa.

    SMD Semiconductor Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shariman Jamil manakala CSA Catapult diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Martin McHugh.

    Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari juga memberitahu bahawa kelebihan ketara Sarawak ialah Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya, zon perindustrian tercanggih yang terletak secara strategik di Kuching.

    “Taman ini menjadi bukti komitmen Sarawak untuk memupuk pertumbuhan teknologi, inovasi dan perindustrian.

    “Melihat ke hadapan, Kerajaan Sarawak telah memulakan inisiatif untuk meningkatkan lagi infrastruktur teknologinya, iaitu pembangunan Taman Teknologi Tinggi Kuching,” katanya.

    Projek berwawasan itu dijangka siap menjelang tahun 2030 dan merangkumi kawasan seluas 738.6 hektar dalam bandar Kuching, ibu negara Sarawak.

    Mengenai SMD Semiconductor Sdn Bhd, beliau berkata, dalam langkah strategik untuk mempercepatkan matlamat bercita-cita tinggi Sarawak, entiti milik penuh kerajaan Sarawak itu memulakan inisiatif penting dalam sektor semikonduktor kompaun di UK.

    Pada masa ini, SMD secara strategik terlibat dalam usaha kerjasama dalam industri semikonduktor kompaun UK, memanfaatkan kepakaran dan sumber kolektif untuk penyelidikan, pembangunan dan penembusan pasaran yang berkesan.

    Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, kepercayaannya bahawa SMD Semiconductor menjalin pakatan strategik dan kerjasama dengan rakan kongsi industri terkemuka UK akan memainkan peranan penting dalam memacu inovasi yang membentuk semula keupayaan dan aplikasi semikonduktor kompaun.

    Beliau menambah bahawa Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara SMD Semiconductor dan CSA Catapult adalah bukti komitmen Kerajaan Sarawak terhadap kerjasama dan inovasi antarabangsa.

    “Ketika kita memulakan perjalanan ke arah masa depan yang dikuasakan oleh semikonduktor kompaun, saya menyeru semua pihak berkepentingan iaitu pemimpin industri, penyelidik, pelabur dan penggubal dasar untuk berganding bahu dalam merealisasikan visi ini.

    “Bersama-sama, marilah kita merebut peluang yang ada bagi memanfaatkan potensi transformatif semikonduktor kompaun untuk membentuk masa depan yang lebih cerah untuk Sarawak dan seterusnya,” jelasnya.

    Turut hadir sama mengiringi ialah Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Teknologi dan Digital UK, Saqib Bhatti dan Ahli Parlimen UK, Stephen Metcalfe,-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read