KUCHING, 06 MAC 2021 (SNN) : Sarawak hari ini mencatatkan 221 kes positif baharu covid-19 menjadikan jumlah kes jangkitan meningkat kepada 10,895 kes manakala tiga kes kematian turut direkodkan hari ini menjadikan kes kematian meningkat kepada 87 orang.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan media hari ini mengisytiharkan satu kluster baharu melibatkan kawasan komuniti rumah panjang iaitu Kluster Bukit Tunggal, Julau. Setakat hari ini kluster tersebut yang melibatkan dua rumah panjang telah mencatatkan 29 kes positif termasuklah kes indeks iaitu seorang lelaki berusia 69 tahun yang disahkan positif selepas ujian saringan bergejala di pusat kesihatan. Perebakan kes bermula daripada aktiviti gotong-royong menuai padi sawah melibatkan dua rumah panjang.