Kuching, 07 Mei 2019 (SNN)- Rampasan dadah yang bernilai lebih sejuta di Miri apabila modus operandi menyeludup 24,594 biji pil ekstasi dalam satu bungkusan yang kononnya mengandungi coklat menggunakan perkhidmatan kurier terbongkar dengan penahanan seorang lelaki di Pos Laju Miri.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata penahanan lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu dibuat oleh anggota penguatkuasaan Kastam Sarawak pada 6 Mei lalu, sekitar jam 9.45 pagi semasa dia hendak beredar dari kawasan premis berkenaan.
“Pemeriksaan ke atas bungkusan yang dialamatkan kepada seorang wanita, Chua Leh Ming di Lot 2294 Taman Desa Seri, Lorong 2 Jalan Permaisuri, Pujut 98000, Miri telah menjumpai sejumlah 24, 594 pil ekstasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, Sharifah berkata pemeriksaan ke atas kenderaan yang digunakan suspek juga membawa kepada penemuan sebanyak 30 paket serbuk Kristal yang disyaki ketamine seberat 26.88 gram. Katanya suspek bersama bungkusan dan sebuah kenderaan telah ditahan untuk siasatan lanjut, dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM1,266,375.20.
Sementara itu, beliau berkata risikan awal ke atas alamat rumah yang digunakan pada bungkusan itu juga mendapati rumah berkenaan didiami oleh ramai penghuni, berpandukan kepada jumlah kenderaan yang berada di kawasan rumah tersebut.“Keadaan rumah ini dikhuatiri dijadikan sebagai pusat pembungkusan bagi penjualan dan pengedaran dadah-dadah untuk seluruh Sarawak dan juga ke negara Brunei Darussalam,” katanya.
Sharifah berkata siasatan sedang diteruskan bagi mengesan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah tersebut. Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. Sumber- SS