Sessang, 24 Jun 2019 (SNN)- Ramah Tamah Aidilfitri dimeriahkan lagi dengan sambutan Hari Guru SK Abang Moh Sessang 2019. Majlis ini diadakan di Dewan Terbuka SK Abang Moh Sessang bermula seawal jam 8 pagi. Majlis dihadiri bukan sahaja oleh para guru dan pelajar namun juga dimeriahkan dengan kehadiran komuniti setempat yang menunjukkan adanya kerjasama erat antara pihak sekolah dan penduduk setempat.
Kerjasama sekolah, pihak guru, ibu bapa dengan komuniti setempat di daerah ini adalah hubungan sihat antara pelbagai pihak bagi melihat kemajuan pelajar secara berterusan bukan sahaja dalam bidang akademik bahkan kokurikulum. ADUN N.40 Kabong, Mohd Chee Kadir berkata demikian semasa merasmikan majlis ramah tamah Aidilfitri dan sambutan Hari Guru SK Abang Moh Sessang pagi ini.
“Jika sebelum ini, sambutan hari guru hanya diadakan di sekolah tanpa penglibatan komuniti, namun hari ini kita lihat sambutan hari guru yang merupakan hari bersejarah buat para pendidik turut dimeriahkan dengan sambutan ramah tamah Aidilfitri dengan dihadiri oleh para guru serta pelajar, ibu bapa dan juga masyarakat dan penduduk setempat”, katanya.
“Kali ini program meraikan guru pada sambutan hari guru yang dibuat serentak dengan majlis ramah tamah Aidilfitri dilihat lebih berjaya menarik komuniti setempat untuk sama-sama datang dan meraikan hari bersejarah ini”, ujarnya.
Mohd Chee Kadir berkata, program sebegini juga merupakan pendekatan yang cukup baik, selain salah satu usaha memastikan hubungan erat warga pendidik dan masyarakat di daerah ini berada di atas landasan yang betul.
“Dengan adanya program seperti ini, saya percaya hubungan erat tersebut dapat direalisasikan seperti digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan kerana selain guru, terdapat wakil ibu bapa dan komuniti yang menyertainya”, katanya
“Kita berharap pada tahun yang akan datang konsep untuk meraikan golongan pendidik ini dengan melibatkan ahli komuniti akan terus mendapat sambutan sekaligus membolehkan kita melaksanakannya setiap tahun,” katanya.
Pada majlis yang sama, Mohd Chee Kadir telah meluluskan beberapa permohonan daripada pihak pengurusan SK Abang Moh Sessang. Antaranya termasuklah, pembinaan pintu pagar sekolah, projek naik taraf surau sekolah, permohonan kerusi plastik baru berjumlah 150 buah, serta kemudahan kelengkapan takungan air di asrama SK Abang Moh, Sessang. Diharapkan dengan kelulusan tersebut akan memberikan impak positif terhadap prestasi pelajar di SK Abang Moh Sessang.
Selain itu, Mohd Chee Kadir turut menyampaikan baucar bantuan pakaian seragam sekolah 2019 tajaan Yayasan Sarawak kepada 16 orang pelajar terpilih dari SK Abang Moh Sessang yang bernilai RM200 setiap satu. Bersempena majlis ramah tamah yang diadakan serentak dengan sambutan hari guru ini juga, Mohd Chee Kadir turut menyampaikan duit raya kepada178 orang pelajar sekolah SK Abang Moh Sessang.